Home Artikel PAS Melaka

Hari ini dalam sejarah : Pengumuman penubuhan Bank Pembangunan Pertanian oleh Tunku Abdul Rahman

238
SHARE

6 FEBRUARI 1969 (KHAMIS)

PADA hari ini dalam tahun 1969, Penubuhan Bank Pembangunan Pertanian telah diumumkan oleh Perdana Menteri Malaysia, Tunku Abd. Rahman.

Penubuhan Bank Pembangunan Pertanian dengan modal $10 juta adalah lanjutan daripada keputusan yang dibuat di dalam Kongres Ekonomi Bumiputera Kedua yang telah diadakan di bulan September 1968.

Pada 21 Oktober 1969 pelancarannya telah dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri Tun Abdul Razak bin Dato’ Hussein dan dikenali sebagai Bank Pertanian. Ia ditubuhkan berdasarkan akta Bank Pertanian yang berkuatkuasa mulai 1 Ogos 1969.

Antara tujuan-tujuan penubuhan Bank Pertanian ialah untuk menggalakkan kemajuan pertanian seluruh negara, menyelaras dan menyelia bantuan kredit dan menyelenggara wang simpanan dan menyelia pengurusan kewangan berhubung dengan pertanian.

Bank Pertanian menumpukan kegiatan di kawasan-kawasan yang kurang maju dan melaksanakan skim pinjaman kemudahan kredit.

Logo Bank Pertanian Malaysia (Kredit foto : Google)

Skim pinjaman ini telah dilaksanakan buat pertama kalinya di kawasan Rancangan Perairan Muda di Kedah dan kemudiannya di kawasan tanaman padi dua kali setahun di Kemubu, Tanjung Karang, Sabak Bernam, Krian dan Sungai Manik.

Skim pinjaman ini memberi kemudahan kepada petani untuk mendapatkan baja, racun rumput-rumpai, perkhidmatan traktor dan lain-lain bahan pengeluaran.

Kemudahan pinjaman ini disalurkan melalui Bank Pertanian dan pusat-pusat kredit tempatan seperti Persatuan-Persatuan Peladang, syarikat-syarikat kerjasama dan pihak-pihak persendirian, pembekal-pembekal bahan-bahan pengeluaran, pemborong-pemborong perkhidmatan traktor, Bank Negara Malaysia, bank-bank perniagaan dan petani-petani.

Penubuhan Bank Pertanian adalah sebahagian dari usaha kerajaan meninggikan pendapatan para petani dan nelayan di samping meninggikan lagi kadar pengeluaran negara. Usaha ini penting untuk mencapai matlamat Dasar Ekonomi Baru iaitu membasmi kemiskinan dan menyusun semula masyarakat.

Skrip: Nurzuliana Kamaruzaman / Arkib Negara Malaysia

Sumber : Ihsan Arkib Negara Malaysia