Home Berita PAS Kelantan

Pasarkan produk ikut teknik semasa – Exco Belia

17
SHARE

TUMPAT, 1 April: 22 peserta kursus kulinari; 18 beliawanis dan empat belia, dirai dalam Majlis Perasmian Kursus Kulinari Kek dan Produk IKS di Mr Chef Solution Academy Bandar Baharu Pasir Pekan, hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan NGO, YB Ustaz Wan Roslan Wan Hamat yang merasmikan majlis tersebut menasihati peserta supaya sentiasa peka dengan situasi dan teknik semasa untuk memasarkan sesuatu produk.

“Pada era dunia tanpa sempadan ini perniagaan atas talian menjadi pilihan utama kepada golongan belia kerana lebih praktikal khususnya pada musim pandemik COVID-19.

Konsep kita adalah memberi kail bukan ikan, kerana dengan memberi kail seseorang itu boleh berusaha sepanjang masa untuk meningkatkan hasil,” katanya.

Tambahnya, mengusahakan produk makanan akan memberi keuntungan yang besar kepada pengusaha dan sesuai dengan Kelantan yang sudah lama terkenal dengan pelbagai jenis hidangan.

Kursus selama tiga bulan tersebut mensasarkan golongan belia bertujuan menyuntik semangat dan mencipta peluang pekerjaan serta pendedahan kepada belia dan beliawanis di seluruh Kelantan.

Kursus ini juga bermatlamat untuk mempertingkat status sosioekonomi para peserta.

Turut hadir, Pegawai Tugas-tugas Khas Pejabat Menteri Besar, Ustaz Mohd Hushaimi Hussian, Penolong Pengarah Kanan Urus Setia Belia dan Sukan (U-BeS), Norhaiti Ibrahim, Pengurus Mr Chef Solution Academy, Chef Mazlan Hassim serta ibubapa peserta.