Home Berita PAS Terengganu

Selarikan fokus martabat Bahasa Melayu

23
SHARE

KUALA TERENGGANU – Pemerkasaan Bahasa Melayu di peringkat antarabangsa perlu diselarikan di peringkat nasional dengan menekankan penggunaan Bahasa Melayu di peringkat pendidikan tinggi, menggantikan Bahasa Inggeris sebagai bahasa utama.

Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato Ustaz Husain Awang berkata, Parti itu menyambut baik usaha Kerajaan memartabatkan Bahasa Melayu di peringkat antarabangsa melalui syor cadangan oleh Perdana Menteri Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakub.

“Cadangan yang dikemukakan oleh YAB Perdana Menteri adalah bersandarkan kepada faktor yang amat signifikan,

“selain Malaysia, beberapa negara jiran seperti Indonesia, Brunei, Singapura, Selatan Thailand, Selatan Filipina serta sebahagian Kemboja turut menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar,” ujarnya dalam satu kenyataan media semalam.

Beliau yang juga Ahli Dewan Negara tidak menafikan kepentingan untuk menguasai Bahasa Inggeris, namun pada masa yang sama, bahasa ibunda seharusnya tidak dipinggirkan.

“sehingga wujud dalam kalangan bangsa Melayu yang malu untuk berbahasa Melayu lantaran terlalu mengagungkan bahasa asing.

“Bahkan yang lebih mendukacitakan apabila rakyat Malaysia sendiri ada yang tidak tahu berbahasa Melayu.” tegasnya.

Menurutnya, sejarah menukilkan Bahasa Melayu melalui tulisan Jawi telah berfungsi sebagai bahasa diplomasi atau ‘Lingua Franca’ bermula abad ke-7 sehingga abad ke-19 Masihi.

Bahkan katanya, wujud warkah dan perjanjian dalam teks Bahasa Melayu antara banyak kerajaan Melayu dahulu dengan kuasa-kuasa Barat menjadi pembuktian kukuh mengenai kegemilangan Bahasa Melayu suatu ketika dahulu.

Justeru, beliau berpandangan, tindakan Kerajaan untuk memartabatkan Bahasa Melayu adalah wajar, namun yakin usaha tersebut sukar sekiranya ia tidak disokong dan diterjemahkan sebagai antara polisi utama jabatan-jabatan Kerajaan dan syarikat-syarikat swasta.

“Oleh itu, saya amat berharap agar usaha Kerajaan itu mendapat kerjasama semua pihak dan menjadi tugas dan tanggungjawab kita sebagai rakyat Malaysia untuk mengangkat bahasa kebangsaan yang kita cintai ini.” tambahnya.