Home Ketua Penerangan PAS Pusat

PAS Sambut Baik Pakej Rangsangan Ekonomi Dan Bantuan Rakyat

1508
SHARE

Kenyataan Media
Parti Islam Se-Malaysia (PAS)

PAS Sambut Baik Pakej Rangsangan Ekonomi Dan Bantuan Rakyat

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) menyambut baik Pakej Rangsangan Ekonomi Dan Bantuan Rakyat yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri Malaysia, YAB Tan Sri Dato Hj Muhyiddin Mohd Yassin semalam.

Langkah ini amat bertepatan ketika sebahagian rakyat yang terbelenggu dengan perbelanjaan kos sara hidup harian terutama mereka yang tidak mempunyai pendapatan tetap.

Golongan yang berpendapatan harian paling terkesan terutamanya B40. Begitu juga peniaga atau usahawan kecil apabila aktiviti perniagaan mereka terhenti tetapi dalam masa yang sama terpaksa membayar sewa premis dan gaji pekerja.

Ini termasuk rakyat yang terlibat ‘gig economy’ seperti pemandu teksi e-hailing, penghantar makanan dan seumpamanya turut terjejas.

PAS juga menyambut baik beberapa kerajaan negeri yang turut mengumumkan inisiatif membantu rakyat seperti langkah mengecualikan sewa bulanan terhadap premis perniagaan yang dimiliki oleh kerajaan, menangguhkan bayaran sewa bagi rumah PPRT dan beberapa insentif lagi seperti Terengganu dan Kelantan.

Usaha ini dilihat dapat melegakan rakyat walaupun kerajaan negeri sendiri berhadapan dengan risiko pengurangan pendapatan akibat kejatuhan harga minyak mentah dunia ke paras paling rendah.

PAS turut merakamkan ucapan tahniah kepada institusi zakat, badan korporat, badan bukan kerajaan serta individu yang turut serta membantu meringankan beban rakyat.

Di sebalik usaha pihak Kerajaan Persekutuan menangani wabak pandemik Covid-19 yang begitu serius, PAS masih kesal kerana masih ada lagi segelintir rakyat yang ingkar akan Perintah Kawalan Pergerakan. Rakyat seharusnya mematuhi arahan dan peraturan yang telah dibuat oleh pihak kerajaan untuk menjamin keselamatan semua pihak.

‘Islam Memimpin Perpaduan’

KAMARUZAMAN MOHAMAD
Ketua Penerangan
Parti Islam Se-Malaysia (PAS)
24 Mac 2020 | 29 Rejab 1441