Home Kenyataan Media PAS Melaka

PAS Melaka zahir penghargaan buat Tan Sri Muhyiddin Yassin

155
SHARE

Kenyataan Media

PAS Melaka menyanjung tinggi dan menghargai segala kerja keras, usaha dan pengorbanan mantan Perdana Menteri Malaysia ke-8, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin sepanjang beliau menjalankan tanggungjawab memegang jawatan tersebut.

Sikap tegas beliau terhadap isu integriti menjadikan beliau seorang yang istimewa berbanding dengan pemimpin-pemimpin negara yang lain sebelum ini.

Sesungguhnya pentadbiran Tan Sri Muhyiddin sebenarnya telah melalui satu zaman di mana negara ini diuji dengan ujian yang sangat berat yang tidak pernah dilalui oleh Perdana-perdana Menteri yang sebelumnya.

Justeru, adalah sesuatu yang tidak wajar untuk mana-mana pihak menganggap bahawa pentadbiran beliau selama ini gagal hanya sekadar memandang dari sudut kesusahan yang sedang dihadapi oleh rakyat selama ini. Hakikatnya tidak ada negara pun yang sedang menghadapi bencana yang rakyatnya tidak menderita.

Hakikat yang perlu kita akui bahawa pemerintahan beliau secara kolektif telah berjaya menguruskan negara dalam situasi mencabar ini berbanding negara lain. Juga yang paling menariknya ialah beliau telah berjaya meninggalkan satu sistem mengatasi isu Covid-19 iaitu Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang bakal diteruskan oleh Perdana Menteri baharu.

Kami berharap agar segala kemelut politik yang sedang berlaku ini akan kembali reda dan semua parti-parti yang mendukung kerajaan Perikatan Nasional (PN) selama ini akan dapat bertaut kembali demi untuk menggalas tanggungjawab menangani bencana Covid-19 sekiranya kita berjaya membentuk kerajaan dalam masa terdekat ini.

Jadikan apa yang berlaku ini sebagai iktibar, terutama buat parti-parti Melayu iaitu PAS, Bersatu dan Umno untuk kita kembali mengukuhkan penyatuan ummah bagi menghalang PH-DAP daripada berkuasa di bumi Malaysia yang tercinta ini.

PAS Negeri Melaka mengambil kesempatan ini untuk menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada mantan Perdana Menteri Malaysia ke-8, YAB Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin yang telah menjalankan tanggungjawabnya selama ini dengan penuh dedikasi dan kesungguhan.

Terima kasih Tan Sri!

DATUK USTAZ KAMARUDIN SIDEK
• Pesuruhjaya PAS Melaka
• Penasihat Agama Kepada Ketua Menteri Melaka
18 Ogos ’21 | 9 Muharram 1443