Home Kenyataan Media PAS Melaka

PAS Melaka junjung titah Darurat YDPA

262
SHARE

Kenyataan Media Badan Perhubungan PAS Negeri Melaka


PAS Melaka junjung tinggi titah Pengisytiharan Darurat oleh Yang Di-Pertuan Agong

BADAN Perhubungan PAS Negeri Melaka menjunjung tinggi titah KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong terhadap perkenan Baginda kepada proklamasi darurat yang bermula pada hari ini di seluruh negara.

Islam sangat menitikberatkan soal menjaga nyawa manusia. Meletakkan keselamatan nyawa rakyat dan memelihara maslahat rakyat sebagai prioriti merupakan suatu tindakan yang bijak dan tepat.

Kemelut politik harus diredakan, apa lagi dalam suasana pandemik Covid-19 yang menggila ditambah lagi dengan suasana banjir yang melanda beberapa buah negeri di Semenanjung.

Seperti di dalam peperangan, gencatan senjata adalah sangat penting dalam meredakan susana agar segala punca pertelingkahan dibawa ke meja perundingan untuk diselesaikan melalui kesepakatan bersama.

Meninjau pendapat rakyat biasa, pilihan raya bukanlah menjadi keutamaan (wajibul wakti) waktu ini, sebaliknya membendung penularan pandemik Covid adalah prioriti.

Ramai rakyat yang kehilangan pekerjaan, berapa ramai yang pendapatan mereka terjejas teruk akibat daripada wabak yang menular pantas ini, juga berapa ramai yang kehilangan ahli keluarga dan orang yang mereka kasihi memerlukan jawapan dan jalan penyelesaian secara holistik dan bersepadu.

Komentar yang dibuat di media sosial oleh rakyat yang tidak cenderung kepada kepartian perlulah diambil kira. Kerana mereka adalah mewakili bahagian besar daripada keseluruhan pengundi dan mereka mempunyai kuasa tersendiri untuk menjatuh atau menaikkan mana-mana parti dalam pilihan raya.

Semoga dalam tempoh darurat ini segala kekusutan dan karenah politik dapat diredakan dan diselesaikan dengan baik demi menjaga maslahat rakyat dan kestabilan politik negara.

Semangat ukhuwah Islam Melayu dapat diperkukuhkan agar menjadi kuasa politik baharu dalam menguasai politik Malaysia dan meletakkan Islam di tempatnya serta melaksanakan keadilan kepada rakyat tanpa mengira batas kaum dan agama.

Islam Memperkukuhkan Perpaduan

Perkasakan MN
Pertahankan PN

HAJI BAKRI JAMALUDDIN
Ketua Penerangan PAS Melaka.
13.01.2021