Home Artikel PAS Melaka

Pena editor Melaka : Darurat politik?

230
SHARE

PEMBANGKANG dan mereka yang mempunyai agenda politik peribadi membuat andaian bahawa darurat ini adalah darurat untuk tujuan politik dan bukan menjaga maslahat rakyat disebabkan Covid-19. Saya separuh setuju.

Memang darurat ini untuk politik. Untuk mengawal politik. Pada 25 Oktober lepas Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong telah menolak cadangan untuk mengadakan darurat oleh kerajaan. Pada masa itu darurat ini dicadangkan untuk mengelakkan Bajet 2021 yang bakal dibentangkan ditolak di Dewan Rakyat yang akhirnya akan menyebabkan suasana politik yang tidak stabil serta akan menyusahkan rakyat.

Namun pada masa itu Yang Di-Pertuan Agong menolak. Saya melihat faktor penolakan ini adalah kerana keperihatinan Baginda untuk mengelak persepsi rakyat bahawa demokrasi akan mati di Malaysia jika darurat diadakan.

Di sebalik penolakan cadangan ini Baginda telah menitahkan saranan agar ahli-ahli politik bersatu hati dan tidak bermain politik di saat Covid-19 ini.

Saya percaya Baginda cuba menyampaikan mesej bahawa sebenarnya jika ahli politik boleh bertindak rasional dan melupakan sekejap perbalahan politik demi untuk menumpukan perhatian pada bencana besar ini maka darurat tidak perlu.

Namun apa yang kita telah lihat, kepercayaan yang diberi oleh Tuanku ini telah dipersia-siakan oleh sesetengah ahli-ahli politik yang mementingkan agenda peribadi berbanding menjaga kepentingan rakyat secara menyeluruh.

Mereka pula mengambil kesempatan dalam kesempitan untuk menghuru-harakan negara demi kuasa tetapi berselindung di sebalik slogan-slogan mulia demi rakyat, demi demokrasi, demi keadilan. Yang sebenarnya adalah gila kuasa!

Kerakusan mereka tiada penghujungnya. Bajet 2021 hampir ditolak dan Titah nasihat Tuanku Yang Di-Pertuan Agong langsung tidak dihormati!

Akhir-akhir ini pula terdapat desakan kuat agar Tan Sri Muhyiddin Yassin mengadakan segera Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15). Walau pun katanya mereka menuntut pilihan raya diadakan hanya jika Covid-19 dapat diatasi namun beberapa orang Ahli Parlimen sudah pun menarik sokongan kepada Kerajaan Persekutuan PN sekarang.

Nampaknya kerasukan yang melanda ramai ahli politik ini memang tidak dapat dibendung. Jika kemelut politik ini berterusan maka kerajaan akan jadi huru-hara. Yang mentadbir negara juga adalah orang politik. Jika orang-orang politik ini asyik berpolitik mereka tidak akan dapat menumpukan usaha melawan Covid-19. Maka kita semua akan mati ditelan Covid-19.

Saya percaya kerana itulah Yang Di-Pertuan Agong kali ini bersetuju agar darurat diadakan. Ini adalah kerana orang-orang politik tidak menghargai peluang dan kepercayaan yang diberi Baginda sebelum ini. Mungkin Baginda melihat hanya darurat boleh menjadi guru dan rotan untuk mendidik ahli politik agar berubah daripada tidak berakal kepada sedikit berakal.

Benarlah kata beberapa orang pakar bahawa wabak politik ini lebih bahaya daripada wabak Covid-19. PM bertindak wajar dengan mengurung dahulu orang-orang politik oportunis ini dengan darurat agar mereka tidak mengganggu usaha kerajaan untuk membendung Covid-19.

Sebenarnya yang marah sangat dengan darurat ini adalah ahli-ahli politik oportunis dan pengikut-pengikut mereka sahaja. Rakyat sangat perlu pada darurat ini untuk selamatkan nyawa kita semua.

Kerana itu saya katakan tadi jika orang kata bahawa darurat ini sebenarnya darurat politik saya separuh setuju. Ini adalah kerana bagi saya darurat ini serampang dua mata, yang pertama memang bertujuan politik iaitu untuk mengurung politikus oportunis dan yang kedua untuk mengatasi masalah Covid-19 tanpa gangguan.

Saya percaya Muhyiddin bukan takut bertarung, cuma masa belum sesuai. Bila dah selesai kerja, bila masalah Covid-19 ini sudah dibendung masa tu Muhyiddin akan buka gelanggang. Masa tu bertarunglah sampai titisan nafas terakhir…

Perkasakan MN, pertahankan PN
Demi umat tercinta, bersatulah semua!

IBNU JANIE
Editor
CPP Berita PAS Melaka dan WARM
Jabatan Penerangan PAS Melaka