Home Artikel PAS Melaka

PAS Masjid Tanah sahut seruan tambah cawangan – Jamarudin

282
SHARE

Oleh : Ibnu Janie

KOTA MELAKA, 13 Sept : PAS Kawasan Masjid Tanah hari ini menyambut baik arahan agar lebih banyak cawangan PAS ditubuhkan sebagai persediaan menghadapi pilihanraya yang akan datang.

Arahan ini dinyatakan di dalam ucapan dasar Presiden PAS Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang yang disampaikan dalam Muktamar Tahunan PAS Pusat kali ke-66 pagi tadi.

Menurut Setiausaha PAS Kawasan Masjid Tanah, Jamarudin Ahmad, penubuhan cawangan adalah penting kerana cawangan ini umpama tiang seri yang meneguhkan binaan kepada organisasi PAS kawasan.

“Sebelum ini pun memang kita sudah mengeluarkan arahan penubuhan cawangan-cawangan baru PAS berdasarkan sempadan JPKK.

“Jadi arahan dari Presiden ini adalah sebagai satu pengesahan terhadap arahan PAS Kawasan Masjid Tanah kepada semua Jabatan Pilihanraya DUN (JPrD) PAS dalam parlimen Masjid Tanah ini.”

Menurut Jamarudin lagi arahan ini harus dilaksanakan dengan segera dan bersungguh-sungguh demi untuk memastikan PAS terus kukuh di dalam persada politik tanah air.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di dalam Muktamar Tahunan PAS Pusat kali ke-66 bagi Negeri Melaka dan Negeri Sembilan yang berlangsung di Hotel Sentral, Melaka, di sini petang tadi.

Turut hadir sebagai perwakilan dari kawasan Masjid Tanah ialah Naib Yang Dipertua PAS Kawasan, Arshad Mohd Som, Pengarah JPrD PAS Kuala Linggi, Ustaz Azmi Sambul dan Pengarah JPrD PAS Taboh Naning, Abu Hashim Abd Samad.


Wartawan Rakyat Melaka (WARM)