Home Kenyataan Media Dewan Muslimat PAS Malaysia

Teruskan Agenda Kesejahteraan Wanita

235
SHARE

MENUTUP TIRAI MUKTAMAR DMPM MENERUSKAN AGENDA KESEJAHTERAAN WANITA

1. Segala puja dan puji dirafa’kan ke hadrat ALLAH lantaran dengan keizinan dan kasih sayangNya dapatlah kita menyelesaikan agenda tahunan kita iaitu Muktamar Dewan Muslimat PAS Malaysia. Sesuatu yang teramat disyukuri dalam keadaan negara masih dilanda wabak pandemic Covid-19.

2. Ucapan terima kasih sekalung budi buat Yang Amat Berbahagia Tuan Guru Dato’ Hj. Hashim Jasin, Mursyidul Am PAS atas kehadiran beliau di Muktamar ini. Tidak lupa buat semua pemimpin PAS Pusat iaitu YAB Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan seluruh Jawatankuasa PAS Pusat yang hadir, Pesuruhjaya Wilayah Persekutuan beserta Harian Badan Perhubungan PAS Wilayah Persekutuan dan Ahli Majlis Syura Ulama’. Tidak dilupakan delegasi Dewan Himpunan Pendukung PAS. Masa dan perhatian Tuan semua sangat dekat di hati muslimat.

3. Ucapan setinggi penghargaan juga buat sahabat di dalam Perikatan Nasional, Dato’ Rosni Sohar, Setiausaha Wanita UMNO Malaysia beserta delegasinya dan Puan Azalina Abdul Rahman Setiausaha Serikandi Malaysia beserta delegasinya kerana sudi hadir memeriahkan Muktamar tahunan kami. Kehadiran sahabat-sahabat memberikan rasa kebersamaan dalam perikatan yang ingin kita sama-sama teguhkan.

4. ISLAM MEMIMPIN, WANITA SEJAHTERA yang menjadi tunggak Dewan Muslimat PAS Malaysia adalah sebagai penegasan kepada semua, Islam itu dijadikan panduan sebenar dalam semua aspek kehidupan ini, pastilah kehidupan wanita akan berada dalam kesejahteraan. Juga apabila wanita itu diposisikan sebaiknya selari dengan fitrah, nescaya dunia dan seisinya akan bersama-sama menikmati kesejahteraan.

5. Selain daripada itu, saya mengajak seluruh kepimpinan muslimat untuk bersedia dengan tiga aspek berikut; aspek kualiti kepimpinan, pemikiran dan kebudayaan, serta iman dan akhlak demi melahirkan kepimpinan berkualiti yang bakal memimpin wanita di Malaysia. Persediaan kita penting untuk memastikan kepimpinan Islam menjadi rujukan semua pihak. Perubahan pandangan dan sikap harus ada bagi memastikan kita sesuai menggalas tugasan yang diberikan dengan amanah. Sesungguhnya tanggungjawab ini bukan sahaja bakal dipersoalkan oleh rakyat malah kita harus ingat, ia bakal dipersoalkan di akhirat kelak.

6. Semoga kepimpinan Islam membudaya dalam masyarakat dan melahirkan pemimpin yang berintergriti, berdaya saing dan mampu meletakkan Islam di tempat yang tertinggi.

7.Akhirnya, sejuta penghargaan kepada seluruh jawatankuasa dan urusetia yang terlibat dalam menyelaras dan melicinkan perjalanan Muktamar Dewan Muslimat PAS Malaysia kali ke-60. Kesungguhan dan pengorbanan masa yang diberikan, mudah-mudahan mendapat ganjaran yang setimpal disisi Allah swt dan menjadi saksi apabila kita bertemu denganNya kelak.

Siiru ala barakatillah.

#IslamMemimpinWanitaSejahtera.

YB Senator Hjh Nuridah Hj Mohd Salleh
Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia.
13 September 2020
25 Muharram 1442H