Home Berita PAS Kedah

PAS kekal sebagai ejen penyatuan ummah

64
SHARE

OLEH: ROZAIDI TAIB

SUNGAI PETANI, 6 NOV– Peranan PAS kekal selaku ejen penyatuan pelbagai pihak demi untuk melihat kedudukan politik yang stabil dan keutuhan perpaduan sesama rakyat di Malaysia,  disamping mengekalkan tonggak Melayu-Islam kekal mentadbir negara ini.

“Selaku ejen penyatuan, PAS akan sentiasa berpegang dengan tiga prinsip utama seperti yang digariskan dalam ucapan dasar Tuan Guru Presiden PAS iaitu adil untuk semua samada untuk kawan dan lawan, dipimpin oleh mereka yang baik dan bertaqwa serta semestinya kuasa politik  di tangan umat Islam kekal mentadbir, ” kata Yang DiPertua PAS Kawasan Pokok Sena, YB Wan Romani Wan Salin yang ditemui ketika menghadiri Muktamar  Tahunan PAS Pusat ke-67 yang diadakan di The Jerai Hotel di sini, hari ini.

Beliau yang juga Exco Kerajaan Negeri Kedah menjelaskan Islam mesti menjadi titk persamaan antara kesemua parti yang memegang kuasa sepertimana dilakukan oleh Rasulullah SAW terhadap kaum Aus dan Khazraj termasuk juga beberapa puak Yahudi semasa perjanjian Piagam Madinah dimetarai.

“Dengan majoriti 22 juta umat Melayu-Islam di negara ini, sudah tentu kita mahu melihat kedudukan bangsa dan agama berada di tempat yang sepatutnya sebab itulah Tuan Guru Presiden tidak jemu-jemu menyeru kepada penyatuan ummah ini sejak dahulu lagi.

“Pengalaman selepas PRU-14 apabila gabungan PH berjaya mengambil alih tampuk pentadbiran memperlihatkan banyak perkara keistimewaan orang Melayu-Islam yang cuba dirobek dan diusik harus menjadi iktibar semua pihak,”tegasnya.

Mengulas pertembungan dua tonggak orang Melayu-Islam di Pilihanraya Kecil Negeri (PRN) Melaka iaitu Perikatan Nasional dan Barisan Nasional, selaku Pengarah Pilihanraya PAS Negeri Kedah beliau menzahirkan rasa kecewa apabila jalan perundingan yang sepatutnya menjadi solusi kepada pertembungan sesama sendiri tidak berlaku.

“Agak janggal apabila gabungan di peringkat pusat bagi membentuk kerajaan “keluarga Malaysia” oleh pelbagai parti tidak dijadikan asas penyatuan untuk berunding agihan kerusi di PRN Melaka sudah semestinya memudahkan laluan PH untuk kembali merampas pentadbiran negeri Melaka, maka hilanglah penguasaan Melayu-Islam di sana” ujarnya.

Ditanya tentang situasi di negeri Kedah sekiranya keadaan ini berterusan kekal untuk PRU-15 akan datang, Wan Romani menjelaskan jentera Pilihanraya dibawahnya sentiasa akur dengan arahan dan strategi yang diariskan oleh pimpinan dan bersedia sebarang kemungkinan yang bakal berlaku.

“Namun setakat ini hubungan antara PAS-UMNO-BERSATU di dalam kerajaan dan peringkat parti masih lagi berjalan baik walaupun terjadi sebaliknya di PRN Melaka, harapnya begitulah kerjasama ini berkekalan.

“Tindakan BN untuk bergerak solo amatlah dikesali tetapi sekiranya itulah yang dicitakan PAS dan Perikatan Nasional akan terus bersama dan berjuang demi kesejahteraan rakyat Kedah,” katanya.

Turut hadir mengiringi beliau ke Muktamar kali ini ialah tujuh orang ahli jawatankuasa PAS Kawasan  manakala Sheikh Mohamad Rodi Abdul Rahman selaku Timbalan dan YB Ustaz Salim Mahmood selaku Naib Yang DiPertua PAS Kawasan hadir ke Muktamar yang diadakan di Terengganu masing-masing mewakili Dewan Ulamak Dewan Negeri kedah dan PAS Kawasan Pokok Sena.