Home Berita PAS Kedah

PAS Kedah serah kelengkapan rumah bantu penduduk terjejas tragedi “Kepala Air”

80
SHARE

OLEH: ROZAIDI TAIB

Gurun, 24 Ogos – PAS Kedah menyerahkan sumbangan berupa barangan kelengkapan kepada 60 orang mangsa tragedi “Kepala air” di Kampung Baru Seberang Sungai, di sini, hari ini.

Sumbangan disampaikan dalam sebuah majlis ringkas yang diatur Pusat Khidmat Ahli Parlimen Jerai oleh Pesuruhjaya PAS Kedah, Senator Ustaz Ahmad Yahya di perkarangan kediaman salah seorang penduduk kampung terbabit.

Turut hadir ialah Setiausaha PAS Kedah, Musoddak Ahmad, Ketua Dewan Ulamak, Sheikh Rodi Abdul Rahman, Ahli Parlimen Jerai, Ustaz Sabri Azit serta ahli jawatankuasa PAS kawasan.

Antara barangan yang disumbangkan ialah bantal, tilam, alas tidur, periuk nasi , dapur dan tong gas.

Kesemua barangan adalah hasil sumbangan dari penderma seluruh negara melalui tabung bencana yang dilancarkan oleh PAS Kedah sejurus kejadian tersebut.

Salah seorang penerima yang ditemui, Azizah Saad, 54 menzahirkan rasa syukur kerana masyarakat Malaysia sangat prihatin dan pemurah untuk membantu mereka yang ditimpa kesusahan akibat bencana.

“Rumah semua dah ok dah, sukarelawan mai bantu bersih dan dapat sumbangan makanan cukup dan hari ni barangan kelengkapan ni pulak, Alhamdulillah syukur sangat,” ujarnya.

“Terima kasih banyak sukarelawan hat mai bantu kami, jiran-jiran semua pakat puji,”

Manakala seorang lagi penduduk yang ditemui, Zahari Mat, 50 turut memuji tindakan pantas Pusat Khidmat yang mengatur sukarelawan untuk bantu membersihkan rumah yang dimasuki lumpur.

“Cuma saya mohon kalau ada sumbangan barangan elektrik yang lain, sebab setengah(peralatan) boleh guna dan ada yang dah rosak kena ayaq,” rayunya.

Dalam kejadian “kepala Air” Gunung Jerai pada Rabu lalu, air yang deras bersama lumpur dan pokok yang tumbang menuruni puncak gunung telah menyebabkan menjejaskan lebih 1,500 buah premis kediaman dan pejabat di daearah Yan dan Merbok.

Tragedi “Kepala Air” kali ini turut meragut 6 nyawa merupakan yang terburuk pernah dialami oleh penduduk sekitar lokasi.