Home Berita PAS Kedah

PAS Kedah rayu tenaga sukarelawan

319
SHARE

ALOR SETAR – Sukarelawan diseru membantu gerak kerja pembersihan rumah dan kawasan pasca tragedi Kepala Air di Gunung Jerai yang turut menyebabkan banjir lumpur di kawasan Jerai dan Merbok.

Pesuruhjaya PAS Kedah, YB Senator Ustaz Ahmad Yahya berkata pergerakan sukarelawan yang terdiri daripada ahli dan NGO yang berminat mestilah dibuat pelarasan melalui PAS Kawasan dan tertakluk kepada pematuhan SOP semasa pencegahan Covid-19.

“Semua sukarelawan yang hadir untuk memberi bantuan mesti membuat pengesahan dengan PAS kawasan masing-masing untuk direkodkan maklumat dan pelarasan gerak kerja,” katanya.

Ujarnya kawasan tragedi terbabit telah diisytiharkan sebagai kawasan bencana tahap satu oleh Kerajaan Negeri Kedah semalam jesteru semua aktiviti dan pergerakan memerlukan makluman dan pemantauan oleh pihak berkuasa.

Menteri Besar Kedah dalam kenyataannya hari ini berdasarkan laporan awal memaklumkan jumlah rumah yang terjejas dalam tragedi ini sekitar 800 buah di daerah Yan dan 200 rumah di daerah Kuala Muda.

Beliau turut menyatakan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan kerajaan Negeri telah memutuskan pemberian bantuan tunai RM500 bagi setiap keluarga yang terkesan untuk membantu kerja-kerja penggantian sebahagian  peralatan asas rumah dan pembersihan manakala waris mangsa yang kehilangan nyawa akan menerima sumbangan sebanyak RM5,000.