Home Berita PAS Kedah

Kedah hulur wang tunai bantu mangsa tragedi “Kepala Air”

299
SHARE

ALOR SETAR – Kerajaan Negeri Kedah hari ini telah memutuskan bersama Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) untuk memberikan bantuan tunai RM500 (Lima Ratus Ringgit) bagi setiap keluarga yang terkesan dengan tragedi ‘kepala air’ di Daerah Yan dan Kuala Muda yang berlaku pada Rabu lalu.

Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor berkata bantuan ini adalah untuk membantu kerja-kerja penggantian sebahagian peralatan asas rumah dan pembersihan.

“Bagi keluarga mangsa yang kehilangan nyawa akibat tragedi ini, kerajaan akan menghulurkan bantuan Lima Ribu Ringgit kepada keluarga mangsa.”

“Urusan pendaftaran keluarga yang terjejas bagi menerima bantuan ini akan diuruskan oleh Pejabat Daerah Yan dan Pejabat Daerah Kuala Muda.”

Muhammad Sanusi memberitahu, sebagai langkah awal, keluarga terbabit dinasihatkan membuat laporan polis dan mendaftarkan nama dan maklumat diri dengan pejabat daerah masing-masing.

Beliau berkata berdasarkan laporan awal, jumlah rumah yang terjejas dalam tragedi ini sekitar 800 buah di daerah Yan dan 200 rumah di daerah Kuala Muda .

Namun tambahnya, bantuan membaiki kerosakan bangunan bukan kediaman dan bangunan kerajaan masih dalam perbincangan bersama NADMA.