Home Berita PAS Johor

PAS Johor : Seruan perhebatkan usaha bantuan

53
SHARE

PEMIMPIN & AHLI PAS SELURUH JOHOR DIKERAH MEMPERHEBATKAN GERAKAN MEMBANTU RAKYAT

Pimpinan dan ahli PAS dibentuk melalui tarbiah dan latihan untuk menjadi hamba Allah yang beriman dan bertaqwa dalam masa yang sama menyumbang bakti kepada masyarakat tanpa mengira masa dan tempat.

Bergerak di dalam pelbagai komuniti dan pelbagai sektor seperti dakwah, pendidikan, kebajikan dan lain-lain.

Tidak kira sama ada menang atau kalah, sama ada diterima atau dihina.

Gerakan massa sudah sebati dalam perjuangan PAS, kebajikan adalah budaya yang dibawa ke dalam masyarakat, membantu sesiapa sahaja tanpa mengira warna kulit dan sempadan politik atas nama kemanusiaan.

Terkini, Sumbangan Tabung Bencana Covid-19 (STBC) melalui Khidmat Malaysia Negeri Johor telah menyalurkan sumbangan fasa pertama kepada pusat-pusat bantuan di 20 buah parlimen di Johor.

STBC juga memfokuskan bantuan untuk petugas barisan hadapan (Frontliner) dan mereka yang terjejas pendapatan.

Alhamdulillah, bukan hendak berbangga tetapi inilah imej PAS yang sinonim dengan Islam yang menjadi dasar perjuangan.

Justeru dalam pandemik Covid-19 yang kian mencabar ini, saya selaku Pesuruhjaya PAS Negeri Johor membuat kerahan kepada semua ahli PAS terutamanya pimpinan agar memperhebatkan gerakan menyantuni rakyat yang sedang berdepan dengan ujian ketika ini.

Juga diingatkan supaya sentiasa menjaga dan patuhi SOP dalam apa jua tindakan yang kita lakukan, lebih-lebih lagi semasa memberi khidmat kepada masyarakat.

Semua ahli PAS seluruh Negeri Johor di semua peringkat mesti memainkan peranan sebagai pemberi maklumat, siapakah yang perlu dibantu dan bertindak segera menghulurkan bantuan.

Walaupun dalam Kerajaan Negeri Johor jumlah ahli PAS yang dipilih memegang jawatan pemimpin dalam masyarakat seperti Ahli Majlis Daerah dan Ketua Kampung tidak ramai namun ia bukanlah halangan untuk kita menghulurkan bantuan.

Ini sebagai sokongan terhadap pelbagai usaha kerajaan bagi pemulihan negara dan mengembalikan kesejahtaraan rakyat.

Tahniah dan terima kasih buat semua ahli dan pimpinan, juga individu dan pertubuhan, yang sentiasa prihatin jua cakna membantu tanpa penat, dengan keluhan masyarakat atas kesusahan atau mereka yang terjejas pendapatan, yang sedang dihadapi ketika ini.

Usaha mewujudkan Gerobok Rezeki, Food Bank, Rak Sumbangan dan sebagainya jenis sumbangan untuk orang ramai yang memerlukan adalah amal usaha yang sangat terbaik dan terpuji.

Insha-Allah, saya mendoakan moga Allah permudahkan segala urusan kita semua terselamat dari wabak merbahaya ini dan akhirnya kita menang bersama.

USTAZ ABDULLAH HUSIN

Pesuruhjaya

Badan Perhubungan PAS Negeri Johor (BPPNJ)

5 Julai 2021 | 24 Zulkaedah 1442H

 

#KhidmatKeranaAllah

#KitaMenangBersama