Home Berita PAS Melaka

Hari ini dalam sejarah | Pertukaran perkataan dasar ketenteraan ke Bahasa Malaysia

17
SHARE

5 JULAI 1961 (RABU)

PADA hari ini dalam tahun 1961, 115 perkataan dasar dalam ketenteraan termasuk kata-kata memberi perintah, telah diluluskan pertukaran ke Bahasa Malaysia oleh pihak berkuasa tentera dan Polis Diraja Persekutuan.

Hal ini telah diumumkan oleh Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, Tuan Syed Nasir bin Ismail.

Kesemua perkataan dasar itu telah diluluskan oleh satu jawatankuasa khas yang dilantik oleh Dewan Bahasa dan Pustaka, yang mengandungi wakil-wakil dari tentera dan polis.

Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, Tuan Syed Nasir bin Ismail (Kredit foto : Google)

Perubahan perkataan itu telah dilakukan oleh sebuah platun yang terdiri daripada pelbagai kaum di Sungai Udang, Melaka.

Di antara perkataan yang terlibat ialah perkataan ‘Sedia’ menggantikan ‘Attention’, ‘Sendeng Senjata’ untuk ‘Slope Arms’, ‘Senang Diri’ untuk “Stand At Ease” dan lain-lain lagi.

Perkataan baharu ini mula digunakan buat pertama kalinya semasa perbarisan pasukan-pasukan bersenjata di Stadium Merdeka pada 31 Julai 1961 sempena dengan sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan.

Usaha ini merupakan langkah ke arah mendaulatkan bahasa kebangsaan Negara.

Sumber : Ihsan Arkib Negara Malaysia