Home Berita PAS Johor

PAS Johor : Perhebatkan agihan bantuan

71
SHARE

PEMULIH : SARANAN KEPADA KERAJAAN AGAR MEKANISMA AGIHAN BANTUAN DIPERHEBATKAN

Pertamanya kita mengucapkan syukur kepada Allah SWT dan terima kasih kepada Kerajaan Malaysia di bawah pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin (TSMY) kerana menyediakan peruntukan yang besar sebanyak RM150 bilion dalam pakej Perlindungan Rakyat Dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) dengan meletakkan tiga fokus utama iaitu meneruskan agenda prihatin rakyat, menyokong perniagaan dan meningkatkan vaksinasi.

Sebelum ini juga Kerajaan telah mengeluarkan berbelanjaan hampir 400 bilion untuk membantu rakyat dan pemulihan negara dalam pandemik Covid-19 ini dan berbagai-bagai lagi usaha telah dilakukan oleh pihak Kerajaan.

Mekanisma pengagihan bantuan kepada rakyat secara pantas dan menyeluruh mesti dilakukan. Jangan sampai ada penduduk yang susah tertinggal dari mendapat bantuan.

Pemimpin masyarakat di semua peringkat seperti Penghulu, Ketua Kampung, Ahli Majlis Daerah, Ahli Jawatankuasa Surau/Masjid dan lain-lain mesti berperanan untuk mencari dan mengenal pasti kalangan penduduk yang menghadapi masalah supaya dapat dibantu dengan segera.

Orang ramai juga disarankan agar lebih peka terhadap persekitaran kejiranan masing-masing untuk memberi maklumat mereka yang terputus bekalan makanan kepada pihak berwajib atau pemimpin di tempat masing-masing, begitu juga individu atau ketua keluarga yang menghadapi masalah agar tidak malu untuk meminta bantuan. Selain kerajaan kami yakin di luar sana ada juga pihak lain yang bersedia untuk turut sama membantu.

Sikap prihatin dan cakna semua pihak serta kesungguhan Kerajaan mempertingkatkan kualiti perkhidmatan bantuan kepada rakyat akan dapat meredakan tekanan yang dihadapi ketika dalam tempoh pendemik Covid-19 ini.

PAS Johor ingin berpesan kepada mereka yang terkesan teruk dengan pandemik kali ini, supaya tidak melakukan perkara yang melulu sehingga boleh membahayakan diri dan nyawa.

Setiap masalah, pasti ada cara dan jalan keluarnya. Teruskan berdoa pada Allah SWT, agar kita semua dipermudahkan segala urusan di dunia dan akhirat.

RUSMAN KEMIN

Ketua Penerangan

Badan Perhubungan PAS Negeri Johor (BPPNJ)

30 Jun 2021 | 19 Zulkaedah 2021