Home Kenyataan Media PAS Perlis

DUPNPs: Kesihatan mental tanggungjawab bersama

52
SHARE

KENYATAAN MEDIA DEWAN ULAMAK PAS NEGERI PERLIS
KESIHATAN MENTAL TANGGUNGJAWAB BERSAMA

1. Dewan Ulamak PAS Negeri Perlis (DUPNPs) menzahirkan kebimbangan akan stastistik kes bunuh diri di Malaysia yang menular ibarat barah dan menjejaskan kehidupan serta negara. Setiap hari pasti ada sahaja isu berkenaan ini dikeluarkan di media-media utama dalam mahupun luar negara.

2. Gangguan kesihatan mental merupakan faktor utama seseorang individu tidak akan dapat berfikir secara rasional dan boleh bertindak di luar kawalan. Secara khususnya perkara ini perlu ditangani pihak berwajib di bawah agensi kebangsaan.

3.DUPNPs memuji perkhidmatan Talian Kasih yang beroperasi 24 jam bagi membantu masyarakat dan ini mendapat respon positif daripada masyarakat.

4. Tidak dilupakan Usaha Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) yang telah mewujudkan Dasar Kaunseling Negara dalam mengekang isu kesihatan mental dengan memperkukuhkan perkhidmatan kaunseling juga merupakan satu langkah yang drastik.

5. Namun, semua pihak sebenarnya mempunyai peranan yang besar dalam mengatasi isu bunuh diri dan perlulah sentiasa mengambil berat akan tahap kesihatan mental masing-masing.

6. DUPNPs juga sentiasa komited untuk membantu jika diperlukan dalam membantu agensi kerajaan ataupun bukan kerajaan yang terlibat dalam usaha menangani masalah kesihatan mental ini daripada terus meningkat.

7. Bagi mereka yang beragama Islam, membunuh diri bukanlah jalan penyelesaian terbaik, begitu juga dengan agama-agama yang lain. Allah SWT berfirman dalam surah al-Nisa’, ayat 29 yang bermaksud; “Dan janganlah kamu membunuh dirimu. Sesungguhnya Allah Maha Penyayang kepadamu”.

8. Selain itu, DUPNPs bersedia mengeluarkan risalah mengenai pengurusan stress dalam perspektif islam memandangkan kefahaman agama yang kurang mendorong manusia bertingkahlaku di luar kawalan.

9. Walaupun kes di negeri Perlis tidaklah setara seperti di Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan bandar-bandar besar yang lain, namun jangan disangka air yang tenang tiada buaya.

10. Justeru, kami turut mencadangkan supaya pusat pengurusan stress yang merupakan pusat sehenti bagi merawati kes-kes berkaitan kesihatan dan penyakit mental supaya diwujudkan di negeri ini bagi memudahkan rakyat yang menghadapi masalah mendapatkan khidmat nasihat pakar.

11. Seterusnya, peranan masjid yang merupakan pusat komuniti dalam segala hal juga hendaklah diaktifkan dan DUPNPs merasakan amat perlu pengoperasian masjid dikembalikan dengan SOP yang ketat agar aktiviti keagamaan yang menjadi penawar rohani khusus bagi umat Islam dapat disemarakkan.

12. DUPNPs juga bersedia mengadakan kerjasama dengan semua pihak bagi mencari jalan terbaik untuk membendung kejadian bunuh diri akibat tekanan mental daripada terus meningkat.

Yang benar,
USTAZ IDRIS YAACOB
Ketua,
Dewan Ulamak PAS Negeri Perlis
30 Jun 2021 | 19 Zulkaedah 1442H