Home Artikel PAS Johor

PAS Johor menyokong lantikan MB Johor dan PM Malaysia baharu

1087
SHARE

KENYATAAN MEDIA
KERAJAAN, PERDANA MENTERI MALAYSIA DAN MENTERI BESAR JOHOR

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

1. Badan Perhubungan PAS Negeri Johor (PAS Johor) mengucapkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah S.W.T. yang telah mengurniakan kesejahteraan dan keamanan ke atas negeri Johor dan Malaysia selama berlakunya krisis politik sejak seminggu yang lalu yang membawa kepada pertukaran kerajaan.

2. PAS Johor juga bersyukur suatu keputusan telah dicapai melalui kebijaksaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XVI Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah, yang telah melantik Y.A.B. Tan Sri Muhyiddin bin Haji Muhammad Yassin sebagai Perdana Menteri yang ke-8 dan mengucapkan setinngi-tinggi tahniah kepada Y.A.B. di atas perlantikan tersebut. Selaras dengan pendirian dan harapan PAS Pusat, PAS Johor juga mengharapkan dan mendoakan urusan pentadbiran negara akan dapat dipulihkan dan di perbaiki bagi kebaikan dan kesejahteraan rakyat. PAS juga memberikan komitmen untuk turut sama mendokong tanggungjawab ini bersama di dalam kerajaan yang baru ini, sebagaimana yang telah dinyatakan oleh Y.B. Dato’ Tuan Guru Abdul Hadi bin Awang, Persiden PAS di dalam kenyataan sebelum ini.

3. PAS Johor juga bersyukur dan mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Menteri Besar Johor yang ke-18, Y.A.B. Dato’ Ir. Hj. Hasni bin Hj. Mohammad yang mendapat perkenan dan lantikan daripada Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj, Sultan Johor. PAS Johor menjunjung kasih titah dan perkenan Tuanku.

4. PAS Johor memberikan sepenuh komitmen untuk berperanan dengan berkesan bagi memastikan kelancaran perjalanan pentadbiran negeri, di dalam aspek pembangunan fizikal, rohani dan jasmani serta memastikan ketelusan di dalam semua urusan, terutamanya di dalam agenda kebajikan dan kesejahteraan rakyat Johor khususnya. PAS Johor akan memainkan peranan tersebut melalui wakil rakyat tunggal PAS iaitu Y.B. Kapten (B) Hj. Najib bin Lep, ADUN Bukit Pasir dan juga melalui barisan pimpinan PAS Johor yang sedia berkhidmat di pelbagai sektor di dalam kerajaan.

5. PAS Johor percaya melalui kepimpinan Y.A.B. Menteri Besar, negeri Johor akan bergerak maju kehadapan tanpa meminggirkan mana-mana golongan masyarakat dari pelbagai kaum dan agama.

6. PAS Johor juga mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada Tun Dr. Mahathir Mohamad yang telah berkhIdmat sebagai Perdana Menteri yang ke-7, serta barisan kabinetnya yang telah memerintah Malaysia selepas PRU14.

7. PAS Johor sekali lagi ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan terima kasih dan tahniah kepada semua penjawat awam di negeri Johor (Johor Civil Servant, JCS) khususnya dan Malaysia amnya yang bersikap profesional melaksanakan tanggungjawab menguruskan pentadbiran negeri dan negara.

8. PAS Johor menyeru seluruh rakyat untuk memberikan sokongan kepada kerajaan baru serta barisan kepimpinan yang akan dilantik bagi membina semula negara dan negeri ke arah yang lebih baik dan sejahtera dalam sudut ekonomi, pembangunan, keamanan dan keharmonian, serta mendapat keberkatan darpada Allah S.W.T.

Sekian. Wassalam.

ISLAM MEMIMPIN PERPADUAN
DAULAT TUANKU

USTAZ ABDULLAH BIN HUSIN
Pesuruhjaya Badan Perhubungan PAS Negeri Johor