Home Berita PAS Kedah

PAS-Gerakan serlah semangat Keluarga Malaysia bantu masyarakat

158
SHARE

OLEH ROZAIDI TAIB

MERBOK – Semangat Keluarga Malaysia diserlahkan melalui kerjasama Dewan Pemuda PAS dan Pemuda Parti Gerakan, apabila mereka bergandingan dalam misi memasang sistem perpaipan air untuk masyarakat yang musnah ekoran tragedi ‘Kepala Air’ di Bukit Kuari Batu, Singkir Darat, di sini.

Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Senator Ir. Ts. Khairil Nizam Khirudin yang  mengetuai misi ini bersama Wong Chia Zhen, Ketua Pemuda Gerakan Negeri Kedah mengenakan pakaian rasmi Jabatan Amal sebelum memulakan kerja pendakian untuk menarik paip PVC naik ke sumber air bersih di puncak bukit gugusan Gunung Jerai.

Menurut Khairil Nizam, sejak terjadinya tragedi ini, beliau telah mengarahkan Jabatan Amal seluruh negara agar hadir untuk membantu mereka yang terjejas serta meringankan beban yang ditanggung masyarakat di sini.

“Saya simpati atas apa yang berlaku di sini dan saya mengucapkan takziah buat semua mangsa-mangsa yang terlibat,” katanya yang hadir untuk kali kedua ke tempat kejadian.

Misi kali ini turut dibantu petugas Jabatan Amal Malaysia (JAM) Negeri Kedah dan JAM Pulau Pinang serta beberapa penduduk tempatan.

Jabatan Amal selain bertugas membersihkan rumah penduduk yang terjejas turut dipertanggungjawabkan PAS Negeri Kedah bagi memulihkan sistem perpaipan saluran air bersih untuk penduduk yang tinggal sekitar kaki gunung tersebut.

Turut hadir Ketua Pemuda PAS Negeri Kedah, Ustaz Nurul Amin Hamid serta beberapa jawatankuasa Dewan Pemuda PAS Kedah dan pimpinan Pemuda Gerakan Negeri Kedah.