Oleh RUSILAH MD SOM
REMBAU, 4 Julai: PAS Negeri Sembilan mendesak Kerajaan Negeri Sembilan supaya mengambil langkah segera menangani penularan COVID-19 yang semakin tinggi jumlahnya di negeri ini.
Ketua Penerangan PAS Negeri Sembilan, Badzli Bakar mengajak Kerajaan Negeri Sembilan di bawah pimpinan Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Aminuddin Harun bersama menyusun strategi dengan mengambil cakna cadangan yang dikemukakan berkesan bagi menghindari pandemik ini sebelum ianya menjadi lebih teruk.
Menurut laporan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada 3 Julai 2021, Negeri Sembilan mencatatkan 699 kes baharu COVID-19, iaitu kedua tertinggi dalam negara.
Kerajaan Negeri Sembilan perlu mengambil langkah segera dan drastik serta menerima saranan dari mana-mana pihak berkaitan langkah-langkah bagi mengatasi lebih ramainya jumlah rakyat yang positif Covid-19 saban hari.
Badzli Bakar, dalam kenyataannya kepada pemberita, menyarankan agar Menteri Besar mengikut langkah negeri-negeri lain seperti Kelantan, Terengganu, Perlis dan Perak yang berada dalam fasa pemulihan. Beliau turut mengingatkan agar tidak mengikut jejak Selangor yang menjadi negeri teratas dijangkiti COVID-19.
Katanya lagi, PAS Negeri Sembilan bersedia untuk bersama-sama dalam mengembeling tenaga bagi memutuskan rantaian COVID-19 di negeri tanah beradat ini.
Ulas beliau lagi, pelan pemulihan yang dicadangkan oleh pihak PAS sendiri merupakan langkah bersama dalam mengurangkan penularan COVID-19 di negeri ini dan bukan dilihat sebagai menyusun agenda mensabotaj serta menggagalkan apa yang sedang dijayakan oleh Kerajaan Pusat.
Dalam pada itu, Badzli turut mengajak rakyat negeri seluruhnya bergandingan bahu menyekat penularan wabak ini dan seterusnya membawa Negeri Sembilan ke era rakyat yang hidup sejahtera tanpa dibelenggu masalah kesihatan dan ekonomi.