Home Berita PAS Melaka

Sumbangan Darul Ansar Al-Idrisiyah akan diagihkan sebaiknya – Rafie

37
SHARE

Oleh ANUAR IBRAHIM

TANGGA BATU, 4 Jul : Timbalan Yang Dipertua PAS Kawasan Tangga Batu, Rafie Ahmad memberi jaminan bahawa pek bakul makanan yang disumbangkan oleh NGO Muassasah Darul Ansar Al Idrisiyah Malaysia akan diagihkan sebaiknya kepada penduduk di dalam DUN Paya Rumput yang memerlukan.

“Saya bagi pihak PAS Kawasan Tangga Batu (PKTB) dan Jentera Pilihan Raya DUN (JPrD) PAS Paya Rumput merakamkan ucapan terima kasih kepada NGO Muassasah Darul Ansar Al Idrisiyah Malaysia, di atas sumbangan 40 kit makanan yang telah disampaikan,” ujar beliau ketika menerima sumbangan tersebut hari ini.

Beliau turut berharap agar sumbangan yang telah dihulurkan ini dapat membantu masyarakat setempat yang terkesan akibat COVID-19.

Sementara itu wakil NGO ini, Ustaz Muhammad Rajab Akmal Abdul Halim berkata, sumbangan ini merupakan satu sokongan yang padu terhadap usaha Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan (LKK) yang giat membantu masyarakat melalui Hotline PAS Prihatin yang mendapat sambutan yang sangat baik.

“Saya sebagai Ketua Cawangan PAS Kampung Gelam, turut memaklumkan akan cuba menghulurkan bantuan kepada mana-mana pihak yang terkesan dan cuba menyalurkan melalui JPrD kawasan,” ujar beliau kepada Wartawan Rakyat Melaka (WARM).

Pengarah JPrD PAS Paya Rumput, Norazman Yusof pula memaklumkan bahawa kit yang disumbangkan ini akan diagihkan kepada semua cawangan yang terdapat di dalam DUN Paya Rumput.

Beliau juga berharap agar usaha ini akan terus dapat berjalan sebagai salah satu komitmen PAS Kawasan Tangga Batu dalam membantu dan menyantuni masyarakat.

Turut hadir semasa penyerahan tersebut ialah Naib yang Dipertua (NYDP) PAS Kawasan Tangga Batu, Ir Hanim Abas, dan Setiausaha Kerja PKTB, Kamil Saufee.