Home Berita PAS Negeri Sembilan

PH perlu berlapang dada beri MB pada UMNO – Faizal Azumu

114
SHARE

Oleh NAZIRUL MUNIR

JEMPOL, 13 Ogos – Seharusnya Pakatan Harapan (PH) berlapang dada dengan memberikan kerusi Menteri Besar kepada ADUN Pertang, Dato Jalaluddin.

“Di Negeri Sembilan, UMNO mendapat kerusi terbanyak, saya ucapkan tahniah kepada YB Dato Jalaluddin dan semoga beliau terpilih sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan yang baru”.

Demikian dinyatakan oleh Pengerusi Perikatan Nasional Negeri Sembilan, Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu dalam satu hantarannya di Facebook beliau.

Sementara itu menurut ADUN Rantau, Dato’ Seri Utama Mohamad Hassan, Majlis Presiden Kerajaan Perpaduan akan membincangkan siapa yang sesuai menjadi Menteri Besar.

“Kita cuba mencalonkan calon yang dirasakan sesuai menjadi Menteri Besar untuk kita mohon restu dan perkenan Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Besar Tuan Besar Negeri Sembilan.

“Perlantikan Menteri Besar ini adalah hak mutlak Yang di-Pertuan Besar, maka Baginda yang akan putuskan sesiapa yang dirasakan sesuai.

“Kalau calon kami tu diperkenankan Alhamdulillah. Kalau tidak terpulanglah kepada Yang di-Pertuan Besar memilih sesiapa sahaja yg difikirkan daripada ahli komponen yang mendapat kepercayaan majoriti daripada ahli dewan”,ujar Mohamad.

Menurut ADUN Sikamat, Datuk Seri Aminuddin Harun, Istiadat Angkat Sumpah Menteri Besar Negeri Sembilan pada Isnin, jam 3 petang.

“Itu akan diputuskan kepimpinan parti di peringkat Pusat supaya dapat disegerakan sebab Tuanku nak disegerakan.

“Saya tak serahkan sebarang nama. Ini keputusan pucuk pimpinan parti di peringkat tertinggi”, ujar beliau.

Aminuddin yang merupakan Mantan Menteri Besar dikatakan bakal dikekalkan semula sebagai Menteri Besar berikutan kemenangan gabungan PH-BN di Negeri Sembilan dalam PRN semalam.

Barisan Nasional mendapat 14 kerusi, DAP (11), PKR (5), AMANAH (1) manakala dari Perikatan Nasional pula PAS mendapat 3 kerusi dan Bersatu 2.