Oleh : M. Saufee
TANGGA BATU: Kesepaduan Perikatan Nasional semakin terserlah di DUN Sungai Udang dalam Parlimen Tangga Batu Melaka apabila kepimpinan dari PAS dan UMNO bersama dalam dua majlis di sini hari ini.
Dalam majlis pertama ADUN Sungai Udang, Datuk Seri Utama Idris Haron bersama dengan Yang DiPertua PAS Tangga Batu Bakri Jamaluddin dan lain-lain kepimpinan dari PAS, UMNO, PPBM dan wakil persatuan penduduk telah menghadiri satu mesyuarat khas di Bilik Mesyuarat Utama Kompleks JAPERUN Sungai Udang.
Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Idris Haron itu telah membincangkan pembentukan Jawatankuasa Pembangunan dan Kemajuan Kampung (JPKK) bagi DUN Sungai Udang.
Pembentukan JPKK ini dilihat sebagai sangat menyeluruh apabila telah mengambil kira bukan sahaja wakil dari parti-parti politik, malahan juga dari persatuan penduduk dan golongan profesional.
Sejurus tamat mesyuarat tersebut kedua-dua pemimpin telah sama-sama menyampaikan sumbangan kit makanan kepada mangsa-mangsa banjir Taman Terendak Permai.
Rata-rata penduduk taman tersebut yang ditemui telah menyatakan kesyukuran dan keyakinan terhadap kerajaan Perikatan Nasional, khususnya wakil dari PAS dan UMNO yang sentiasa prihatin terhadap kebajikan dan permasalahan penduduk di DUN Sungai Udang.
Keterlibatan secara terus pimpinan PAS dan UMNO dalam kedua-dua aktiviti ini jelas membuktikan yang mereka sangat serius memperkukuhkan Muafakat Nasional yang dilihat menunjangi kerajaan Perikatan Nasional di Melaka.
Program di sini hari ini bukan yang pertama kali dibuat atas semangat Muafakat Nasional DUN Sungai Udang. Sebelum ini pernah diadakan Program Santai Bersama Ketua Pembangkang, Forum Perdana sempena Maulidur Rasul dan Penyampaian Bantuan Khas Covid-19, semuanya secara bersama di pentas Muafakat Nasional.
Kesepaduan Muafakat Nasional yang ditunjukkan oleh pimpinan PAS dan UMNO khusunya di DUN Sungai Udang dan Parlimen Tangga Batu ini dilihat sebagai isyarat yang jelas bahawa mereka bersedia memenangi PRU 15 pada bila-bila masa.