Home Artikel PAS Melaka

Tazkirah Ramadan Bersama Dewan Ulamak PAS Negeri Melaka Siri 8

324
SHARE

SIRI 8
9 RAMADAN 1441H
2 MEI 2020M

Pintu-Pintu Syurga

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ، أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: مَنْ أَنْفَقَ زَوْجَيْنِ فِي سَبِيلِ اللَّهِ نُودِيَ مِنْ أَبْوَابِ الْجَنَّةِ، يَا عَبْدَ اللَّهِ، هَذَا خَيْرٌ. فَمَنْ كَانَ مِنْ أَهْلِ الصَّلَاةِ دُعِيَ مِنْ بَابِ الصَّلَاةِ وَمَنْ كَانَ مِنْ أَهْلِ الْجِهَادِ دُعِيَ مِنْ بَابِ الْجِهَادِ وَمَنْ كَانَ مِنْ أَهْلِ الصِّيَامِ دُعِيَ مِنْ بَابِ الرَّيَّانِ وَمَنْ كَانَ مِنْ أَهْلِ الصَّدَقَةِ دُعِيَ مِنْ بَابِ الصَّدَقَةِ فَقَالَ أَبُو بَكْرٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ بِأَبِي أَنْتَ وَأُمِّي يَا رَسُولَ اللَّهِ مَا عَلَى مَنْ دُعِيَ مِنْ تِلْكَ الْأَبْوَابِ مِنْ ضَرُورَةٍ فَهَلْ يُدْعَى أَحَدٌ مِنْ تِلْكَ الْأَبْوَابِ كُلِّهَا، قَالَ: نَعَمْ وَأَرْجُو أَنْ تَكُونَ مِنْهُمْ. متفق عليه.

التخريج: صحيح البخارى، كتاب فضائل الصحابة، باب قول النبى صلى الله عليخ وسلم لو كنت متخذ خليلا حديث رقم 1897.

Maksudnya:

Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang membelanjakan dua dari sesuatu hartanya pada jalan Allah, akan diseru daripada pintu-pintu syurga: “Wahai hamba Allah, ini adalah satu kebaikan, maka sesiapa yang terdiri daripada kalangan ahli solat, akan diseru daripada pintu solat, sesiapa yang terdiri daripada kalangan ahli jihad, akan diseru dari pintu jihad, sesiapa yang terdiri daripada kalangan ahli puasa, akan diseru daripada pintu al-Rayyan, sesiapa yang terdiri daripada kalangan ahli sedekah, akan diseru daripada pintu sedekah.” Maka Abu Bakar RA berkata: “Demi bapa dan ibuku (bertujuan untuk memuliakan Baginda SAW), engkau wahai Rasulullah! Tiadalah ke atas orang yang diseru daripada pintu-pintu itu ditimpa daripada sebarang kemudharatan dan kerugian, maka adakah terdapat orang yang akan diseru daripada semua pintu itu? Baginda menjawab: “Ya, aku berharap bahawa engkau adalah daripada kalangan mereka.

(Muttafaqun ‘Alayhi, hadith riwayat al-Bukhari, no. 1897, 2841, 3216, 3666, Muslim, no. 1027)

Catatan:

Seorang yang benar-benar beriman pada zahirnya, di samping menunaikan amalan fardhu akan membanyakkan amalan yang sunat. Setiap ahli syurga akan diseru mengikut amalan masing-masing. Sesiapa yang daripada kalangan ahli solat akan diseru daripada pintu solat. Ahli solat adalah orang yang banyak bersolat. Dengan menunaikan solat fardhu berjamaah dan banyak mengerjakan solat-solat sunat barulah layak dipanggil sebagai ahli solat. Sesiapa yang daripada kalangan ahli puasa dia akan diseru daripada pintu al-Rayyan. Ahli puasa ialah orang yang banyak berpuasa. Di samping dia berpuasa di bulan Ramadan yang merupakan puasa wajib, dia juga banyak berpuasa sunat sehingga layaklah dia digelar ahli puasa. Sesiapa daripada kalangan ahli sedekah dia akan diseru daripada pintu sedekah. Ahli sedekah ialah orang yang banyak bersedekah. Di samping dia menunaikan sedekah-sedekah wajib (zakat) dia juga banyak bersedekah sunat sehingga layak dia dipanggil ahli sedekah.

Tazkirah disediakan oleh :
USTAZ MOHD SHAFIQ ISMAIL
Ketua Urusan Ulamak
PAS Kawasan Tangga Batu


Wartawan Rakyat Melaka (WARM)