Home Minda Presiden

PAS dan DAP berkawan dan berlawan

231
SHARE

Minda Presiden PAS
[Bil: 107 / 2023]
PAS DAN DAP BERKAWAN DAN BERLAWAN


Parti Islam Se-Malaysia (PAS) berkewajipan menyampaikan kepada seluruh manusia supaya bersama Islam tanpa paksaan. PAS juga bertanggungjawab memperkenalkan Islam secara ilmu dan pelaksanaan dengan sempurna, apabila memerintah negara atau menjadi pembangkang yang mampu membawa mesej dakwah dan amar ma‘ruf nahi munkar.

PAS teguh bersama al-Quran dan hikmah Rasulullah SAW yang menjadi teladan berterusan. Firman Allah SWT:

﴿يُؤۡتِي ٱلۡحِكۡمَةَ مَن يَشَآءُۚ وَمَن يُؤۡتَ ٱلۡحِكۡمَةَ فَقَدۡ أُوتِيَ خَيۡرٗا كَثِيرٗاۗ وَمَا يَذَّكَّرُ إِلَّآ أُوْلُواْ ٱلۡأَلۡبَٰبِ٢٦٩﴾

“Allah menganugerahkan al-hikmah (kefahaman yang mendalam tentang al-Quran dan al-Sunnah) kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya. Dan sesiapa yang dianugerahi hikmah, ia benar-benar telah dianugerahi kurniaan yang banyak. Dan hanya orang-orang yang berakal yang dapat mengambil pengajaran (daripada firman Allah).” [Surah al-Baqarah: 269]

PAS tidak mampu digoda dan dipengaruhi oleh semua pihak lain kerana pegangan aqidahnya yang teguh dan pendekatannya yang anjal (fleksibel). Sehinggakan, PAS tidak boleh diputuskan daripada dasarnya atau dihanyutkan dalam perjalanannya.

Maka, PAS bekerjasama dengan pihak lain dalam masyarakat majmuk yang terdiri daripada berbagai-bagai agama dan idelogi, sejak awal penubuhannya sebelum merdeka bagi menentang penjajah dan selepas merdeka bersama kerajaan dan pembangkang, termasuk Parti Tindakan Demokratik (DAP) selepas tahun 1990-an. Kerjasama itu berlaku pada titik persamaan yang wujud dari aspek kemanusiaan dan pendekatan, tanpa memaksa mana-mana pihak meninggalkan ideologi masing-masing.

Malah, PAS juga pernah menyokong Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan pelaksanaannya yang dibawa oleh Kerajaan Perikatan bagi menentang pengganas komunis, gerakan kongsi gelap dan pelampau yang lain bersamanya. Hal ini demikian kerana, ada antara kumpulan ini yang bersikap melampau dan paling anti-Islam. Apabila ISA telah disalahgunakan bagi menindas pembangkang yang mengikut proses demokrasi termasuk PAS, maka penentangan dilakukan bersama DAP dan lain-lain.

Begitu juga, apabila PAS menang dan diberi mandat memerintah kerajaan negeri di Kelantan dan Terengganu, berlaku pencabulan terhadap demokrasi dan konsep federalisme, sehingga kerajaan PAS di Kelantan dijatuhkan dengan kelulusan perisytiharan darurat di Kelantan. Keadaan ini berlaku ketika PAS berada dalam kerajaan Barisan Nasional sehingga menyebabkan PAS dipecat, dan DAP menentangnya bersama PAS di Parlimen.

Begitu juga tekanan kepada kerajaan PAS Terengganu dan banyak lagi peristiwa yang lain.

Apabila DAP secara terbuka menentang PAS dalam pelaksanaan syariat Islam di Kelantan dan Terengganu yang terletak di bawah bidang kuasa kerajaan negeri dan menjadi hak penganut Islam mengikut Perlembagaan Persekutuan, maka PAS tidak boleh berdiam diri kerana tindakan itu menyentuh dasar PAS secara langsung.

Demikian juga apabila timbulnya isu pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (RUU 355) bagi memperkenalkan sebatan mendidik, bukan menyeksa.

Selain itu, isu negara Islam juga pernah dijadikan polemik oleh DAP ketika bersama PAS dalam gabungan Barisan Alternatif (BA) dan Pakatan Rakyat (PR). Maka, PAS wajib menjawab dan memberi penjelasan secara bersemuka dalam beberapa kali dialog yang diadakan. Ternyata ada dalam kalangan DAP yang bersikap terbuka dan ada juga yang ekstrem menentang kerana kepentingan politik untuk mendapatkan sokongan bukan Islam, sehingga DAP membuat keputusan keluar daripada BA. Walau bagaimanapun, PAS tetap mempertahankan prinsip Islam yang menjadi aqidah perjuangannya.

Apabila isu negara Islam sehinggalah kepimpinan negara diwajibkan kepada Melayu Islam, PAS tegas berpendirian kepada pegangan secara ilmu dan tarbiah, sehingga Majlis Syura Ulamak PAS membuat keputusan memutuskan kerjasama dengan DAP.

Adapun kalangan yang keluar daripada PAS kerana isu tersebut adalah daripada kalangan yang menumpang PAS tanpa mengikuti program ilmu dan tarbiah berjemaah bersama PAS.

Sikap DAP lebih terbuka menentang Islam, apabila mereka memaksa supaya Islam dalam Perlembagaan Persekutuan diterjemahkan mengikut takrif agama yang dibawa oleh penjajah. Hakikatnya, penjajah inilah yang merampas kuasa Islam dalam kedaulatan negara dan syakhsiah Melayu Islam yang telah bertapak sejak kedatangan Islam. Malah kedatangan Islam mendahului kedatangan kaum yang menyokong DAP.

Sesungguhnya, keputusan PAS berpandukan al-Quran dan al-Sunnah yang melaksanakan inti pati al-Quran. Firman Allah SWT:

﴿لَّا يَنۡهَىٰكُمُ ٱللَّهُ عَنِ ٱلَّذِينَ لَمۡ يُقَٰتِلُوكُمۡ فِي ٱلدِّينِ وَلَمۡ يُخۡرِجُوكُم مِّن دِيَٰرِكُمۡ أَن تَبَرُّوهُمۡ وَتُقۡسِطُوٓاْ إِلَيۡهِمۡۚ إِنَّ ٱللَّهَ يُحِبُّ ٱلۡمُقۡسِطِينَ٨ إِنَّمَا يَنۡهَىٰكُمُ ٱللَّهُ عَنِ ٱلَّذِينَ قَٰتَلُوكُمۡ فِي ٱلدِّينِ وَأَخۡرَجُوكُم مِّن دِيَٰرِكُمۡ وَظَٰهَرُواْ عَلَىٰٓ إِخۡرَاجِكُمۡ أَن تَوَلَّوۡهُمۡۚ وَمَن يَتَوَلَّهُمۡ فَأُولَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلظَّـٰلِمُونَ٩﴾

“Allah tidak melarang kamu untuk berbuat baik dan berlaku adil terhadap orang-orang yang tidak memerangimu kerana agama dan tidak (pula) mengusir kamu dari negerimu. Sesungguhnya, Allah menyukai orang-orang yang berlaku adil. (8) Sesungguhnya, Allah hanya melarang kamu menjadikan sebagai kawanmu orang-orang yang memerangimu kerana agama dan mengusir kamu dari negerimu, dan membantu (orang lain) untuk mengusirmu. Dan sesiapa yang menjadikan mereka sebagai kawan, maka mereka itulah orang-orang yang zalim. (9)” [Surah al-Mumtahanah: 8-9]

DAP melakukan perancangan dan strategi yang pernah dilakukan oleh bapanya iaitu Parti Tindakan Rakyat (PAP) di Singapura dengan menggoda Melayu Islam yang jahil agama dan oportunis, sehingga hilangnya kuasa Islam dan lumpuhnya syakhsiah Melayu Islam. Bahkan UMNO juga dikuburkan di sana, bukannya PAS yang membunuh UMNO.

Adapun PAS boleh bersama mana-mana parti dan kumpulan Islam, bukan Islam bumiputera dan bukan Islam yang tidak ekstrem dalam kerjasama pilihan raya. Sehinggakan, PAS dapat menubuhkan kerajaan yang dipimpin oleh Melayu Islam mengikut hukum Islam dalam fiqh politik semasa dan setempat.

PAS bersama kerajaan Perikatan (UMNO, MCA, MIC dan lain-lain) meletakkan Islam sebagai agama negara dalam Perlembagaan Persekutuan ketika PAS menjadi pembangkang dengan hanya memiliki satu kerusi Parlimen dengan aqidah perjuangannya. Pada waktu itu, DAP dan rakan-rakannya yang pragmatik belum lagi lahir ke alam dunia.

Al-Quran tetap menjadi panduan dan petunjuk kepada PAS sepanjang perjalanannya. Firman Allah SWT:

﴿۞وَإِن جَنَحُواْ لِلسَّلۡمِ فَٱجۡنَحۡ لَهَا وَتَوَكَّلۡ عَلَى ٱللَّهِۚ إِنَّهُۥ هُوَ ٱلسَّمِيعُ ٱلۡعَلِيمُ٦١ وَإِن يُرِيدُوٓاْ أَن يَخۡدَعُوكَ فَإِنَّ حَسۡبَكَ ٱللَّهُۚ هُوَ ٱلَّذِيٓ أَيَّدَكَ بِنَصۡرِهِۦ وَبِٱلۡمُؤۡمِنِينَ٦٢ وَأَلَّفَ بَيۡنَ قُلُوبِهِمۡۚ لَوۡ أَنفَقۡتَ مَا فِي ٱلۡأَرۡضِ جَمِيعٗا مَّآ أَلَّفۡتَ بَيۡنَ قُلُوبِهِمۡ وَلَٰكِنَّ ٱللَّهَ أَلَّفَ بَيۡنَهُمۡۚ إِنَّهُۥ عَزِيزٌ حَكِيمٞ٦٣﴾

“Dan jika mereka condong kepada perdamaian, maka condonglah kepadanya dan bertawakallah kepada Allah. Sesungguhnya, Dialah yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. (61) Dan jika mereka bermaksud menipumu, maka sesungguhnya cukuplah Allah (menjadi pelindungmu). Dialah yang memperkuatmu dengan pertolongan-Nya dan dengan para Mukmin. (62) Dan yang mempersatukan hati mereka (orang-orang yang beriman). Walaupun kamu membelanjakan semua (kekayaan) yang berada di bumi, nescaya kamu tidak dapat mempersatukan hati mereka, akan tetapi Allah telah mempersatukan hati mereka. Sesungguhnya, Dia Maha Gagah lagi Maha Bijaksana. (63)” [Surah al-Anfal: 61-63]

Al-Quran menegaskan perlunya pendekatan secara damai dalam hubungan dengan pihak lain, termasuk pihak yang bermusuh, supaya dapat berhubung secara dekat, tanpa kebimbangan ditipu atau digoda. Hal ini disebabkan agar terus beristiqamah di atas dasar Islam dan konsepnya yang lebih daripada ideologi lain yang wajib dipertahankan.

Akhirnya, PAS mendapat sokongan berkali ganda, dan kini menjadi parti terbesar di Parlimen dan juga di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) secara keseluruhan.

ABDUL HADI AWANG

Presiden PAS
Bertarikh: 6 Jumada al-Akhirah 1445 / 18 Disember 2023