Oleh IBNU JANIE
MASJID TANAH, 24 Ogos: Kempen kibar Jalur Gemilang bukan sahaja sebagai memperingati kemerdekaan namun ia juga untuk menyemarakkan semangat kebersamaan semua rakyat Malaysia dalam memerangi pandemik Covid-19, kata Ketua Cawangan PAS Kampung Lendu, Mohamad Nasri Jaafar.
Menurut beliau, semua rakyat Malaysia harus mengambil kesempatan daripada suasana ‘Sambutan Bulan Kemerdekaan’ sempena Hari Kebangsaan Yang Ke-64 ini untuk mengeratkan silaturrahim agar usaha memerangi Covid-19 lebih mudah dan berkesan.
Kerana itu menurut beliau PAS Cawangan Lendu telah mengambil iniasiatif untuk menyemarakkan lagi sambutan kemerdekaan pada tahun ini dengan menghias markaz cawangan ini dengan bendera Jalur Gemilang dan bendera Negeri Melaka.
“Kita bersama-sama seluruh ahli-ahli PAS cawangan telah menaikkan bendera (Jalur Gemilang dan bendera Negeri Melaka) di markaz cawangan kita semalam.
“Matlamat kita pasang bendera ni adalah sebagai meraikan kemerdekan negara yang akan disambut pada hujung bulan ini dan seterusnya sehingga pada hari Malaysia pada pertengahan September,” ujar beliau kepada Wartawan Rakyat Melaka (WARM) pagi tadi.
Menurut Nasri aktiviti yang berlangsung semalam itu melibatkan kira-kira lapan orang ahli-ahli PAS cawangan ini.
“Sekarang ni kita masih dalam PKP, jadi tak boleh ramai sangat (yang terlibat),” ujar beliau lagi.
Menurut Nasri lagi, PAS Cawangan Kampung Lendu turut menganjurkan program sanitasi di rumah-rumah penduduk dan di premis awam sekitar kampung ini sebagai usaha membantu kerajaan menangani wabak ini.
“Petang ni insya-Allah saya dan rakan-rakan ada buat ‘sanitized’ di surau pula,” ujar Nasri lagi.
|