Home Berita PAS Melaka

PAPISMA wujud sejak 1994 – Dr Aizat

43
SHARE

Oleh IBNU JANIE

AYER KEROH, 6 Ogos: Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (PAPISMA) adalah sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berdaftar yang telah beroperasi semenjak tahun 1994 lagi.

Ia bermula dengan pertubuhan pelajar yang dipanggil Siswazah Perubatan Islam (SPI) dan sehingga kini telah mempunyai keahlian hampir 1600 orang sementara mereka yang bertaraf doktor pakar pula berjumlah antara 400 hingga 500 orang.

PAPISMA pada masa ini dipimpin oleh presidennya, seorang doktor Pakar Anaestesiologi di Institut Jantung Negara, Dato’ Dr Suhaini Kadiman.

Demikian dinyatakan Timbalan Pengerusi PAPISMA Cawangan Melaka, Dr Aizat Sofian dalam program bual Bicara Melaka Update berjudul ‘PPV Masjid Mencapai Komuniti Kelompok’ anjuran Jabatan Penerangan PAS Melaka yang berlangsung secara dalam talian yang mula bersiaran pada jam 9.30 malam tadi.

“PAPISMA ini kita punya misi dan visi kita adalah pertubuhan perubatan atau pun doktor-doktor atau pun pegawai-pegawai kesihatan yang berusaha untuk memberi kebajikan kepada masyarakat secara umumnya,” ujar beliau.

Menurut Dr Aizat, banyak aktiviti yang telah dijalankan oleh pertubuhan ini semenjak ditubuhkan sehingga sekarang samada secara bersendirian atau pun secara kerjasama, namun kebanyakannya dibuat secara kerjasama.

Antara aktiviti yang dikongsikan oleh beliau di dalam program ini ialah program khidmat masyarakat pemeriksaan kesihatan percuma yang dijalankan sebagai aktiviti tahunan di pusat-pusat membeli belah antaranya di pasar raya Giant dan di pusat-pusat keramaian yang dijalankan sebelum berlakunya bencana Covid-19.

“Walau pun kita adalah pertubuhan NGO yang melibatkan ahli-ahlinya adalah doktor-doktor atau pun pekerja kesihatan bersekutu, tapi kita punya ahli pun masih boleh (walaupun) bukan doktor.

“Tidak kisah sesiapa pun boleh menjadi ahli kita. Boleh didaftarkan di bawah ahli bersekutu,” kata beliau lagi.

Menurut beliau lagi, semua sukarelawan-sukarelawan PAPISMA samada berlatarbelakangkan bidang perubatan atau bukan ini sama-sama membantu menjayakan program-program yang dijalankan.

“Memang kita punya ahli atau pun sukarelawan yang membantu kita terdiri daripada pelbagai golongan, daripada mahasiswa, doktor, ‘medical assistant’, ustaz pun ada dan orang layman pun ada juga.

“Jika kita lihat di sini (paparan pembentangan) kebanyakan yang join khidmat masyarakat adalah pelajar-pelajar perubatan dan mahasiswa-mahasiswa daripada universiti di sekitar Melaka ini seperti UTeM, Manipal College dan banyak lagi,” jelasnya lagi.

Program bual bicara Melaka Update yang dikendalikan oleh moderator Ustaz Al Hafiz Yahya ini mengetengahkan perbincangan utama tentang peranan dan keterlibatan NGO seperti PAPISMA, Pertubuhan Amal Prihatin dan Khidmat Malaysia ini dalam usaha mengatasi wabak Covid-19 melalui program Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di masjid-masjid sekitar Melaka.

Turut menjadi panel di dalam program tersebut yang disiarkan di laman Facebook Melaka Update ini ialah Timbalan Pengarah Pertubuhan Amal Prihatin Negeri Melaka, Ridzuan Mohd Sarif dan Pengerusi Khidmat Malaysia Melaka, Muhamat Puhat Bedol.