Home Berita PAS Melaka

Tokong dan kuil antara premis disanitasi JAM – Ridzuan

52
SHARE

Oleh IBNU JANIE

AYER KEROH, 6 Ogos: Jabatan Amal Malaysia (JAM) Melaka telah melakukan sanitasi awam secara percuma di sekolah-sekolah agama persendirian, masjid-masjid, surau-surau termasuk juga di beberapa buah tokong dan kuil, kata Timbalan Pengarah NGO Pertubuhan Amal Prihatin Negeri Melaka, Ridzuan Mohd Sarif.

“Kita di sini tanpa mengira beza warna kulit bangsa dan agama kita tetap membantu mereka yang memerlukan untuk menjalankan aktiviti sanitasi awam ini,” ujar beliau ketika menjadi panel kepada program bual bicara Melaka Update yang berlangsung secara dalam talian malam tadi.

Menurut Ridzuan aktiviti ini adalah antara salah satu kaedah yang dilakukan dalam usaha untuk membantu rakyat menangani pandemik Covid-19 ini sepanjang hampir dua tahun semenjak wabak ini mula merebak di negeri ini.

“Kita harap dengan sedikit usaha melalui aktiviti sanitasi ini dapat mencegah penularan dan atau memutuskan rantaian Covid-19 itu sendiri,” ujar beliau lagi.

Tambah beliau lagi aktiviti sanitasi ini bukanlah sesuatu boleh dilakukan oleh sesiapa sahaja secara semberono kerana ia memerlukan sedikit sebanyak pengetahuan terutamanya berkaitan dengan bancuhan bahan tersebut.

“Kita telah merujuk kepada mereka yang berkompetensi melalui pejabat-pejabat kesihatan daerah dan kita telah diberikan taklimat dan sebagainya tentang cara-cara penggunaan, pemakaian peralatan tersebut.

“Dan alhamdulillah sehingga ke hari ini, saya kira telah banyak pun premis-premis yang telah dapat kita masuki. Dan Alhamdulillah terima kasih kepada seluruh rakyat Melaka yang banyak memberikan kerjasama sepanjang mana kita menjalankan aktiviti sanitasi awam tersebut,” ujar beliau lagi.

Program bual bicara Melaka Update terbitan Jabatan Penerangan PAS Negeri Melaka berjudul ‘PPV Masjid Mencapai Komuniti Kelompok’ yang dikendalikan moderator, Ustaz Al Hafiz Yahya berlangsung secara dalam talian bermula jam 9.30 malam tadi.

Program ini mengetengahkan perbincangan utama tentang peranan dan keterlibatan NGO seperti PAPISMA, Pertubuhan Amal Prihatin dan Khidmat Malaysia ini dalam usaha mengatasi wabak Covid-19 melalui program Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di masjid-masjid sekitar Melaka.

Turut menjadi panel di dalam program tersebut yang disiarkan di laman Facebook Melaka Update ini ialah Pengarah Khidmat Malaysia Melaka, Muhamat Puhat Bedol dan Timbalan Pengerusi PAPISMA Melaka, Dr Aizat Sofian.