Home Berita PAS Melaka

Khidmat Malaysia dan PAPISMA Melaka hasilkan 6000 PPE semasa PKP1.0- Puhat

16
SHARE

Oleh IBNU JANIE

AYER KEROH, 6 Ogos: Pengarah Khidmat Malaysia (KM) Melaka, Muhamat Puhat Bedol mendedahkan bahawa hasil kerjasama pertama badan itu dengan Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (PAPISMA) telah berjaya menghasilkan 6000 unit pakaian pelindung diri (PPE) untuk disumbangkan kepada hospital kerajaan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 berlangsung.

“Semasa kita mula-mula dilanda Covid-19 yang lalu kami telah mengadakan satu bilik operasi di Ayer Keroh, iaitu salah satu bilik seminar yang telah diwakafkan sementara oleh Puan Hawa Yaakub salah seorang (pimpinan) Muslimat kita.

“Kami telah dapat mengumpulkan lebih kurang 30 hingga 40 orang tukang jahit. Kemudian kami telah membeli raw material kain untuk PPE tersebut di Semenyih dengan bantuan PAPISMA Melaka dan juga PAPISMA Kelantan pada masa itu, kami mengadakan kerjasama.

“Alhamdulillah sekitar 6000 set PPE dapat kami hasilkan,” ujar beliau semasa menjadi panelis kepada program bual Bicara Melaka Update yang berlangsung secara dalam talian yang mula bersiaran sekitar jam 9.30 malam tadi.

Menurut Puhat, selain PPE, KM dan PAPISMA Melaka turut menjalinkan kerjasama menyumbangkan cecair sanitizer, clorox dan juga beberapa pakaian yang agak sesuai untuk digunakan oleh petugas barisan hadapan pada masa itu.

“Agak mencabar juga pada masa PKP yang pertama itu kerana itu pertama kali kita semua rakyat Malaysia berada dalam suasana yang tidak selesa.

“Tetapi kami terpaksa juga mengerahkan Lajnah Kebajikan juga Dewan Pemuda dan Muslimat menggembling tenaga untuk sama-sama menjayakan program PPE yang amat perlu pada masa itu,” ujar beliau.

Ketika menjelaskan fungsi KM, Puhat yang juga merupakan Timbalan Pesuruhjaya PAS Melaka itu menjelaskan bahawa badan ini adalah sebuah organisasi yang menyelaraskan aktiviti bantuan untuk semua entiti yang ada dalam PAS seperti Jabatan Amal Malaysia, Ameerah selain menjalinkan kerjasama dengan beberapa NGO.

“Khidmat Malaysia adalah singkatan kepada Khidmat Pengurusan Kecemasan Dan Bencana Malaysia yang ditubuhkan oleh PAS untuk menjadi badan pengurusan menyelamat bantuan dan pemulihan bencana dan kecemasan yang ditubuhkan sejak tahun 2014 yang lalu dengan nama MEDM iaitu Malaysian Emergency And Disaster Management,” ujar beliau.

Menurut Puhat, namanya ditukar kepada Khidmat Malaysia semasa di bawah kepimpinan Datuk Iskandar Abdul Samad dan pada masa ini Khidmat Malaysia diterajui oleh ADUN Penaga Pulau Pinang, Ustaz Mohd Yusni Mat Piah.

Program bual bicara terbitan Jabatan Penerangan PAS Negeri Melaka ini yang berjudul ‘PPV Masjid Mencapai Komuniti Kelompok’ dikendalikan moderator, Ustaz Al Hafiz Yahya yang juga merupakan Ketua Unit Logistik jabatan ini.

Program ini mengetengahkan perbincangan utama tentang peranan dan keterlibatan NGO seperti PAPISMA, Pertubuhan Amal Prihatin dan Khidmat Malaysia ini dalam usaha mengatasi wabak Covid-19 melalui program Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di masjid-masjid sekitar Melaka.

Turut menjadi panel di dalam program tersebut yang disiarkan di laman Facebook Melaka Update ini ialah Timbalan Pengarah NGO Pertubuhan Amal Prihatin Negeri Melaka, Ridzuan Mohd Sarif dan Timbalan Pengerusi NGO PAPISMA Melaka, Dr Aizat Sofian.