Home Berita PAS Melaka

‘Pakcik Sulaiman’ ucap selamat menduduki peperiksaan SPM, STPM dan STAM

1411
SHARE

Oleh : Ibnu Janie

MASJID TANAH, 21 Feb : Ketua Menteri Melaka, YAB Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali telah menyampaikan ucapan selamat menduduki peperiksaan SPM, STPM dan STAM buat calon-calon yang bakal menduduki peperiksaan-peperiksaan itu.

Beliau menzahirkan ucapan ini di dalam satu hantaran di Facebook rasmi beliau sebentar tadi secara santai dengan beliau membahasakan diri beliau sebagai ‘pakcik’ dalam ucapan tersebut.

“Assalamualaikum. Marilah sama-sama memanjatkan setinggi-tinggi doa kepada Allah SWT buat semua calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang akan bermula esok agar dipermudahkan segala urusan, dikurniakan kesihatan yang baik serta memperoleh kejayaan yang cemerlang.

“Kepada semua anak-anak calon peperiksaan SPM juga kepada calon peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) yang bakal menduduki peperiksaan utama itu tidak lama lagi, pakcik nak nasihatkan, jagalah kesihatan sepanjang musim peperiksaan ini.

“Teruskan berusaha sehingga ke titisan perjuangan yang terakhir serta jangan sesekali lupa untuk berdoa memohon perlindungan daripada Yang Maha Esa.

“Pakcik dan seluruh kepimpinan Kerajaan Negeri Melaka sentiasa mendoakan kejayaan kalian sebagai pelapis kepimpinan pada suatu hari nanti. Insya-Allah. Selamat Menduduki Peperiksaan SPM!,” ujar Ketua Menteri Melaka di dalam hantaran itu.