Home Berita PAS Melaka

Lawatan kerja Ahli Parlimen Masjid Tanah di Dun Kuala Linggi

431
SHARE

Oleh : Zul Sham Mahat

MASJID TANAH, 21 Feb: Ahli Parlimen Masjid Tanah, YB Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin telah melakukan satu lawatan kerja ke DUN Kuala Linggi, di sini petang semalam.

Turut sama dalam lawatan itu ialah Jawatan Kuasa Penyelaras DUN (JKPD) Bersatu Kuala Linggi dan beberapa agensi kerajaan iaitu Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan TEKUN Nasional.

Dalam lawatan tersebut Ahli Parlimen Masjid Tanah itu berkesempatan bertemu dengan peniaga-peniaga kecil yang memerlukan modal bagi membesarkan perniagaan.

Salah seorang peniaga yang ditemui, Zaidi Mahat, 37, seorang tukang gunting rambut di Kampung Tengah menzahirkan rasa kelegaan apabila dapat bersemuka dengan pihak TEKUN.

“Saya harap permohonan saya untuk pinjaman modal perniagaan saya ini dapat dipermudahkan dan dicepatkan supaya perniagaan saya akan terus maju Insya-Allah,” ujar beliau.

Selain bertemu peniaga-peniaga kecil Mas Ermieyati juga sempat melakukan ziarah kasih sambil menyampaikan sumbangan berupa kit makanan dan wang tunai untuk para asnaf di beberapa buah kampung dalam DUN Kuala Linggi.

Sementara itu AADK yang turut sama dalam lawatan kerja ini adalah dalam rangka kerjanya memantau dua pelatihnya yang mengusahakan tanaman bonsai dan membaiki kasut di Kampung Keramat Leban dan Pekan Kuala Sungai Baru.

Turut hadir dalam program lawatan kerja ini ialah Pemangku Penyelaras Bersatu Dun Kuala Linggi, Atan Mohd dan Timbalan Pengerusi JPrD PAS Kuala Linggi yang juga AJK PAS Kawasan Masjid Tanah Saril Ahmad.