Home Berita PAS Kedah

“Orang Melayu jangan malu berniaga, datuk nenek moyang terdahulu dah kuasai ekonomi dunia”

213
SHARE

Oleh SABRI ABU BAKAR@BRIE

KUPANG, 25 Nov – Nenek moyang orang Melayu dikenali sebagai pedagang yang hebat hingga menguasai ekonomi di Selat Melaka, Laut Champa ( Laut China Selatan) hingga jauh ke negara China dan Jepun.

Ahli Dewan Undangan Negeri ADUN Kupang, Brigadier Jeneral (B) Dato’ Najmi Ahmad, perkara itu bukan satu khayalan, namun telah dibuktikan melalui rekod-rekod sejarah termasuk yang ditulis penjajah.

Sehubungan itu, Najmi menuntut golongan muda pada hari ini tidak malu untuk berniaga.

“Saya berharap anak-anak muda pada hari ini khususnya orang Melayu supaya menceburi bidang perniagaan.

“Jangan ada rasa malu, untuk apa kita malu? Sedangkan datuk nenek kita terdahulu menguasai ekonomi hingga ke merata pelusuk dunia,” katanya kepada Media PAS Baling hari ini.

Najmi berkata, kerajaan melalui pelbagai agensi menyediakan banyak skim bantuan kepada para peniaga dan sewajarnya ia dimanfaatkan.

“Antaranya ialah Skim Jaminan Prihatin DanaJamin (DPGS) yang diperkenalkan oleh kerajaan di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin (PRIHATIN).

“Di samping itu kerajaan menyediakan skim pembiayaan, pinjaman perniagaan dan lain-lain lagi yang bertujuan membantu golongan peniaga Bumiputera,” katanya.

Najmi yang juga Exco Agama Pendidikan dan Sumber Manusia Negeri Kedah berkata, selain perniagaan, golongan muda perlu bijak mengambil peluang menguasai Youtube melalui penghasilan video-video pendek.

Menurutnya, selain dapat menjana pendapatan, ia dapat digunakan sebagai medan dakwah kepada masyarakat.

“Asalkan penghasilannya tidak melanggar batas-batas syarak.

“Saya dapati video pendek di Youtube dikuasai banyak golongan muda di Kelantan dan Terengganu

“Di Kedah pun ada tapi masih kurang, maka saya harap anak-anak muda di Kedah mengambil peluang yang ada depan mata untuk berjaya,” katanya.

Terdahulu, Najmi dan Penolong Pegawai Pusat Khidmat Wakil Rakyat (PKWR) DUN Kupang, Hassan Saad bertemu peniaga-peniaga kecil di Pekan Kupang bagi meninjau perkembangan dan bertanyakan khabar mereka.

“Kedah Sejahtera Nikmat Untuk Semua”