Home Berita PAS Kelantan

OPSMURNI siap siaga hadapi banjir – YB Dato’ Mohd Amar

193
SHARE

KOTA BHARU, 3 Jan: Timbalan Menteri Besar Kelantan, YB Dato’ Mohd Amar Abdullah merakamkan jazakallah khairan kathira (semoga Allah memberi ganjaran yang baik) kepada Kementerian Pertahanan dan agensi berkaitan keselamatan negara yang membuat semakan akhir kesiapsiagaan bencana.

Beliau berkongsi pautan dari laman sosial Menteri Pertahanan, YB Dato Seri Hishamuddin Hussin berkaitan tinjauannya terhadap OPSMURNI di Kelantan yang mempersiapkan 250 anggota daripada lima pasukan iaitu 16 RAMD, 21 RAMD, 1 RS, 2 RS serta Rejimen 506 Askar Wataniah.

Menteri Besar Kelantan, YAB Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob juga diberi penjelasan tentang persediaan telah mula diaturgerak ke beberapa jajahan. Manakala 2,000 anggota daripada 14 pasukan di bawah tanggungjawab 8 Briged sedang bersiap sedia.

“Aset-aset Angkatan Tentera Malaysia (ATM) termasuk trak 1,3,5 dan 7 tan, bot, enjin bot dan genset juga sudah diatur gerak ke lokasi-lokasi yang berisiko tinggi dan akan dimanfaatkan sepenuhnya dalam menggerakkan operasi menyelamat dan memindahkan mangsa banjir di Kelantan ke kawasan selamat. Moga dipermudahkan”, tulis Dato’ Seri Hishamuddin menerusi laman sosialnya baru-baru ini.

Dato’ Mohd Amar turut mencatat tentang Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok di Rantau Panjang yang dijangka siap pada suku ketiga 2024. Tulisnya, Kelantan beri jaminan percepat projek tebatan banjir Sungai Golok dan berusaha mencari pendekatan terbaik bagi tujuan tersebut.