Home Berita PAS Kedah

Operasi bantuan di Masjid Badlishah Pekan Yan berakhir

300
SHARE

Oleh YUSUF ABU BAKAR

YAN, 13 Ogos – Selepas hampir sebulan beroperasi membantu mangsa bencana Gunung Jerai, semalam Ahad (12 Sept) Masjid Badlishah Pekan Yan menutup tirai.

Masjid yang turut terjejas dengan air lumpur ketika bencana pada 18 Ogos lalu menjadi tumpuan NGO dan pemimpin kerajaan negeri dan Persekutuan bagi menyalur bantuan dan mangsa bencana mendapat bantuan.


Setiausaha masjid, Ahmad Fisal Md Thahir berkata, bencana yang berlaku paling buruk dalam sejarah Yan selepas Malaysia merdeka.

” Orang tua mengatakan bencana banjir paling teruk menimpa daerah Yan pada tahun 1925, namun dalam sejarah moden Yan kejadian pada petang 18 Ogos paling buruk.

” Banyak harta benda yang musnah dan mengorbankan enam nyawa, ” katanya ketika ditemui di Masjid Badlishah Pekan Yan.

Masjid ini menjadi tumpuan mangsa bencana untuk mendapatkan bantuan dari air minuman sehinggalah peralatan dapur dan tidur.

NGO dari seluruh negara dan individu datang membawa bantuan untuk kami sampaikan kepada mangsa.

Ahmad Fisal berkata, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Besar Kedah turut datang ke masjid ini untuk menyalurkan bantuan kerajaan negeri dan Persekutuan kepada mangsa bencana.

” Ruang di luar dewan masjid penuh dengan barang sumbangan individu dan Ngo, kami agihkan kepada hampir 1,000 mangsa bencana.

” Kami membentuk jawatankuasa bantuan bagi memudahkan agihan kepada mangsa yang pada minggu pertama paling gawat.

“Ramai mangsa yang kehilangan peralatan rumah dan dapur dilanda banjir lumpur terutama kampung dan taman perumahan berhampiran pekan Yan, ” katanya.


Mengenai peruntukan bantuan kewangan yang disalurkan, Ahmad Fisal berkata sebanyak RM150,000 wang tabung masjid dan sumbangan individu dan Ngo disalurkan kepada mangsa yang terjejas teruk.

“Masjid menyumbangkan masing-masing RM200 kepada 800 keluarga yang teruk ditimpa bencana. Selain barangan keperluan yang disumbangkan kerajaan dan Ngo melalui masjid,” katanya.

Beliau mewakili jawatankuasa masjid dan penduduk mengucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri, Persekutuan, badan beruniform, Ngo dan individu yang bukan saja memberi bantuan barang keperluan malah bersama membantu membersihkan rumah mangsa, sekolah dan masjid.

“Bencana yang menimpa penduduk memberi peluang kepada semua pihak berganding bahu membantu mereka, ” katanya.

Tinjauan mendapati barangan yang masih berada di kawasan ruang masjid sudah berkurangan berbanding tiga minggu pertama kejadian itu.

Hari ini Kementerian Dalam Negeri melalui Jabatan Pendaftaran Negara membantu penduduk yang kehilangan kad pengenalan dam sijil kelahiran untuk memperbaharuinya semula.