Home Berita PAS Johor

Nuzul Quran dan Badar Qubra peringatan untuk ummah

175
SHARE

Oleh SHARIFAH AJIL

MUAR, 19 April : Peristiwa malam Nuzul Quran dan Badar Qubra harus difahami dengan jelas oleh umat Nabi Muhammad kerana ianya ada peringatan yang ditinggalkan.

Demikian dijelaskan oleh Naib Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Ustaz Khirul Muntanazar Ismail dalam taujihatnya di sini, semalam.

Beliau menyampaikannya dalam program Iftar Jamaie, Nuzul Quran dan Badar Qubra anjuran Dewan Ulama PAS Muar di Pusat Tarbiah PAS Kawasan Muar, Parit Pechah.

“Malam ini (17 Ramadan) adalah malam Nuzul Quran iaitu malam di mana Al Quran telah diturunkan. Al Quran diturunkan kepada Nabi kita Muhammad s.a.w melalui malaikat Jibrail. Ayat pertama yang diturunkan ialah dari Surah Al Alaq.
Ayat ini seharusnya menjadi kunci dan sandaran sebagai panduan hidup kita.

“Dicerita pada suatu hari Rasullulah bertanya kepada Muaz, ” Wahai Muaz, kalau kamu didatangkan suatu permasalahan, bagaimanakah kamu menghukumnya?” Jawab Muaz, “Aku akan berhukum kepada Al Quran dan Hadis,” . Demikianlah bertapa yakinnya sahabat Nabi menjawabnya, ” jelas beliau lagi.

Menurutnya, kita sebagai hamba Allah harus bersifat ‘ar roja'(takut) dan ‘ar rauf'(berharap). Sentiasa berasa takut dan berharap kepada Allah atas apa yang kita lakukan, agar kita diterima oleh Allah.

Tambahnya lagi, “Peperangan Badar ini adalah peperangan yang pertama disertai Nabi dengan kekuatan tentera berjumlah 313 orang sahaja. Banyak iktibar yang kita boleh hayati dalam peristiwa ini.

“Sesungguhnya Rasullulah dan mereka yang terlibat dalam peperangan ini diakui mempunyai semangat perjuangan yang tinggi. Berperang dalam bulan Ramadan dengan kekuatan tentera yang sedikit, memang amat mencabar.

“Ketika dalam gawat berlaku peperangan, baginda masih bermesyuarat apabila menghadapi masalah. Sifat pemimpin yang harus kita ikuti. Baginda juga terus merujuk bermunajat kepada Allah swt untuk memohon mendapat kemenangan sulung dalam perang tersebut, ” ujar Muntanazar lagi.

Di dalam Surah Al Anfal, dikatakan orang musyrik melihat tentera Islam ini lebih ramai walau hakikatnya sedikit. Mereka melihat ada tentera berpakaian serba putih, ramai datang membantu (hingga ada di kalangan mereka akhirnya memeluk Islam kerana melihat keajaiban bantuan dari Allah itu).

Sebagai mengambil ‘roh’ Badar Qubra ini, apabila kita infaqkan diri dan seluruh harta untuk jalan Allah, usah risau kerana Allah akan memberikan ganjaran syurga kelak.

Moga dengan Ramadan ini, kita akan menjadi lebih bertaqwa.Dalam kita melaksanakan tuntutan syukur sebagai hambaNya, hendaklah kita melakukan semua yang disuruh dan jangan ragu-ragu meninggalkan yang dilarang oleh Allah.

Majlis yang berakhir jam 10.45 malam ini turut dihadiri Adun Maharani, YB Cikgu Abd Aziz Talib, Timbalan Yang Dipertua PAS Muar, Cheman Yusoh, Ketua Muslimat, Norhayati Sulaiman dan juga wakil-wakil dari kawasan Bakri, Parit Sulong dan Pontian.