Home Berita PAS Johor

NGO Tebrau terus menyantuni masyarakat dengan pengisian kerohanian

135
SHARE

Oleh : Siti Nur Aisyah Az Zahra

18 Ogos, Tebrau : NGO Kelab Kebajikan Anak Tebrau (KKAT) dan Pertubuhan Kebajikan Humaira’ Tebrau (HUMAIRA’) meneruskan usaha menyantuni 50 keluarga kelmarin dalam program Rekreasi Ilmu dan Menyantuni Asnaf 2.0 di Flat Taman Desa Mutiara.

Majlis dimulai dengan ucapan pengenalan oleh AJK HUMAIRA’ Ustazah Amira Afina Jamaludin. Menurut beliau, kebajikan yang menjadi misi NGO KKAT dan HUMAIRA’ turut menitikberatkan pengisian kerohanian.

“NGO Tebrau juga berhasrat membentuk lingkungan positif bagi membentuk jiwa yang lebih kuat dalam diri masyarakat agar dapat mengharungi desakan kehidupan yang penuh cabaran.” ujar Ustazah Amira.

Majlis kemudian diserikan dengan kuliah sempena Maal Hijrah, disampaikan oleh Mudir Sekolah Rendah Integrasi (SRITI) Al Irfan Tebrau, Ustaz Muhammad Faiz Khalid.

Ustaz Muhammad Faiz menekankan kepentingan solat pada apa jua situasi kehidupan walau diuji Allah dengan kesusahan dan kekurangan.

Penyampaian sumbangan berupa barangan keperluan asas dan kewangan telah disampaikan oleh Ahli Jawatankuasa KKAT Nor Fazielah Yaakub dan Mohd Yasin Taib.

Turut hadir Ketua Kampung Kangkar Tebrau, Jawahir Ali serta barisan Ahli Jawatankuasa KKAT, Sazali Siron, Mazlina Baharom, Fatimah HP Dulkarnain dan Rubiah Ahmad.

KKAT sentiasa membuka uncang sumbangan untuk meringankan beban golongan yang memerlukan. Sumbangan boleh disalurkan ke akaun Bank Islam (01087010068909) atas nama Kelab Kebajikan Anak Tebrau.