Home Berita PAS Melaka

Muslimat PAS HTJ lulus usul mempertahan PN memperkukuh MN

169
SHARE

Oleh IBNU JANIE

AYER KEROH, 9 Okt: Dewan Muslimat PAS Kawasan Hang Tuah Jaya (DMPKHTJ) meluluskan tiga usul yang salah satunya ialah usul ‘Mempertahan Perikatan Nasional (PN) Dan Memperkukuh Muafakat Nasional (MN)’ yang telah dibentangkan oleh ketuanya, Hawa Yaakub.

Sementara dua usul lagi ialah usul ‘Menghapuskan UEC’ yang dibentangkan oleh Cikgu Pauziah Muhammad manakala usul ‘Menyekat Gerakan Kristianisasi pula dibentangkan oleh Ustazah Norizah Jaafar.

Menurut Hawa, usul ‘Mempertahan PN Dan Memperkukuh MN’ adalah bagi memastikan pertandingan dua penjuru dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke15.

“Tiga usul telah diluluskan oleh para perwakilan secara sebulat suara untuk dibawa ke peringkat yang lebih tinggi,” ujar beliau.

 

Menurut Hawa, dalam ucapan alu-aluannya, beliau ada menegaskan agar setiap Muslimat sentiasa komited dengan agenda dakwah dan jihad demi mencapai matlamat-matlamat yang termaktub di dalam Perlembagaan PAS.

“Matlamat itu ialah ‘memperjuangkan wujudnya di dalam negara ini sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana di dalamnya nilai-nilai hidup Islam dan hukum-hakamnya menuju keredaan Allah.

“Dan mempertahankan kesucian Islam serta kemerdekaan dan kedaulatan negara,” ujar beliau dalam satu kenyataan yang dihantar ke Bilik Berita Wartawan Rakyat Melaka (WARM) sebentar tadi.

Tambahnya, dalam ucapan alu-aluannya itu juga beliau turut menyeru agar semua perwakilan meningkatkan ‘engagement’ dengan masyarakat setempat dan menyampaikan maklumat-maklumat yang sahih sama ada melalui media sosial ataupun secara langsung.

Menurut Hawa, ini terutamanya kepada golongan muda yang akan didaftarkan secara automatik sebagai pemilih dalam masa yang terdekat.

Selain itu beliau juga mengingatkan agar semua ahli Muslimat meningkatkan ibadah masing-masing dengan melaksanakan amalan-amalan sunat harian dan bulanan di samping ibadah-ibadah fardu serta mengelakkan daripada segala bentuk dosa dan maksiat agar Allah membantu memberikan kemenangan.

“Kawasan Hang Tuah Jaya merangkumi empat DUN iaitu Bukit Katil, Ayer Molek, Pengkalan Batu dan Ayer Keroh.

“Ucapan-ucapan penangguhan mewakili setiap DUN juga menunjukkan kematangan dan kesediaan Muslimat PAS Kawasan Hang Tuah Jaya dalam menggalas tugas menghadapi PRN Melaka dan PRU15,” ujarnya lagi.

Tambah beliau proses mengundian untuk memilih ahli jawatankuasa yang baharu telah berjalan sepanjang tempoh mesyuarat agung berlangsung.

“Di dalam pemilihan kali ini, ketiga-tiga jawatan tertinggi Dewan Musliimat PAS Kawasan Hang Tuah Jaya telah dimenangi tanpa bertanding oleh penyandangnya iaitu saya sebagai Ketua, Dr Khatijah binti Jumangat sebagai Timbalan Ketua dan Ustazah Norizah Jaafar sebagai Naib Ketua,” ujar beliau.