Home Berita PAS Johor

Munajat Akifi program muslimat yang konsisten diadakan

117
SHARE

Oleh RUHAIZAH AHMAD

BAKRI, 14 Ogos : Program Munajat Akifi anjuran Dewan Muslimat PAS Negeri Johor terus konsisten diadakan setiap minggu.

Ia merupakan program kerohanian yang diadakan secara bersemuka bagi kawasan yang berdekatan atau pun melalui dalam talian bagi yang jauh.

Program kali ini diadakan di Markaz PAS Kawasan Bakri, Kampung Jeram dekat sini, kelmarin.

Dewan Muslimat PAS Bakri diamanahkan untuk mengetuai program kali ini secara bersemuka bersama muslimat dari zon yang berdekatan.

Antara yang turut hadir ialah muslimat dari kawasan Muar, Ledang, Pagoh dan Segamat serta guru-guru PASTI Kawasan Bakri.

Program dimulakan dengan Solat Dhuha dan Solat Hajat berjemaah. Seterusnya bacaan Yassin yang dipimpin oleh Ustazah Rashidah Kamarudin manakala munajat oleh Ustazah Ruhaizah Ahmad.

Sesi taujihat disampaikan oleh Ustazah Zainab Hussin , Ketua Dewan Muslimat PAS Kawasan Ledang yang bertajuk “Aspek Zahir dan Batin Dalam Agama” dipetik dari buku karangan Sheikh Dr Muhammad Sa’id Ramadan Al Buti.

“Umumnya, para ulama bersepakat bahawa perintah Allah dalam syariah Islam terbahagi dua. Pertama, perkara yang berkait dengan perkataan dan perbuatan yang zahir seperti puasa, solat, menyuruh kepada kebaikan, mencegah kemungkaran serta berusaha demi kemaslahatan kaum muslimin.

Tambah beliau lagi, “Yang kedua, perkara yang berkaitan dengan jiwa dan hati seperti ikhlas, tawaduk, cinta dan benci kerana Allah, takut terhadap ancaman Allah dan berharap untuk mendapat balasan pahala serta keredaan-Nya.

“Kita perlu sentiasa berdoa, minta hanya kepada Allah Yang Esa dan Allahlah sebaik-baik tempat kita memohon pertolongan,” antara peringatan yang disampaikan oleh Ustazah Zainab.

Selawat secara beramai-ramai mengakhiri program Munajat Akifi yang disertai seramai 90 orang secara bersemuka dan 30 orang di atas talian.