Home Berita PAS Wilayah

Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kawasan Titiwangsa : Platform bermuhasabah

52
SHARE

Oleh : DHIYA NADI

JALAN RAJA LAUT, 25 Julai : Lebih 100 orang perwakilan hadir ke Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kawasan Titiwangsa kali ke-37 di EDC Hotel Kuala Lumpur, semalam.

Ucapan pembukaan dimulakan oleh Yang DiPertua (YDP) PAS Kawasan Titiwangsa, Ustaz Mohd Suhaimi Abdul Aziz. YDP menegaskan lima teras yang perlu dititik beratkan sebagai paksi pergerakan perjuangan PAS Titiwangsa. Lima teras tersebut perlu difahami dan dilaksanakan bersama-sama.

Majlis diteruskan dengan ucapan perasmian oleh Tuan Izamudin Ludin, Pengarah Jabatan Pilihanraya PAS Wilayah Persekutuan. Beliau mengingatkan bahawa mesyuarat agung adalah sesi bermuhasabah untuk semua.

“Ini adalah sesi muhasabah buat kita bukan untuk mencari kesilapan sesiapa tetapi adalah sebagai satu korektif untuk kita sama-sama berganding bahu mencari jalan penyelesaian bagaimana memperbaiki kesilapan dan seterusnya memacu jemaah ke arah lebih berjaya,” ujar beliau.

Seterusnya, video rakaman amanat Tuan Guru Presiden, Datuk Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang ditayangkan. Amanat ini menjadi pembakar semangat buat ahli PAS dalam meniti perjuangan yang penuh cabaran dan ujian.

Tuan Guru turut menekankan aspek keluarga dengan mengajak ahli keluarga terlebih dahulu bersama Islam dalam usaha mencapai agenda perpaduan ummah.

Petikan surah Ali-Imran ayat 200 ini juga dibacakan sebagai penutup amanat Tuan Guru Presiden malah diulang-ulang sepanjang sesi mesyuarat sehinggalah ke penutup mesyuarat kerana ia menjadi pembakar semangat yang jitu, iaitu ;

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم

يٰٓاَيُّهَا الَّذِيْنَ اٰمَنُوا اصْبِرُوْا وَصَابِرُوْا وَرَابِطُوْاۗ وَاتَّقُوا اللّٰهَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُوْنَ

Maksud : Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu dan kuatkanlah kesabaranmu dan tetaplah bersiap siaga (di perbatasan negerimu) dan bertakwalah kepada Allah agar kamu beruntung.

Perasmi turut menyampaikan Anugerah Khas Jasamu Dikenang kepada waris ahli keluarga Allahyarham Haji Khairul Anuar Abdul Manap, Mantan YDP tahun lepas. Anugerah Penghargaan juga diberikan kepada waris ahli keluarga Allahyarham Abu Hassan Othman dan isterinya Allahyarhamah Fauziah Zainal Abidin.

Suasana hiba, namun menjadi kekuatan buat ahli untuk meneruskan langkah perjuangan dakwah ini. Justeru, disampaikan juga Anugerah Ikon Dakwah kepada YDP PAS Kawasan Titiwangsa, Ustaz Mohd Suhaimi Abdul Aziz sebagai pemangkin kepada ahli walau berbeza latar belakang dan peringkat umur.

Dalam majlis perasmian ini juga telah dilancarkan van Pusat Aduan Sosial sebagai kesediaan PAS Kawasan Titiwangsa dalam isu kebajikan dan peduli masalah penduduk di Titiwangsa terutamanya.

Tayangan gimik dan montaj juga sangat mengujakan diakhir slot majlis perasmian, diikuti dengan bacaan ikrar Pilihanraya Umum ke-15 (PRU15) yang dipimpin oleh Pengarah Pilihanraya, Azmer Syazwan.

Selesai majlis perasmian, mesyuarat agung diteruskan dan berakhir sekitar jam 2.15 petang.