Home Berita PAS Johor

Kelab Memanah Abu Talhah Al Ansari merintis usaha menghidupkan sunnah memanah

110
SHARE

Oleh: Aisya Azzahra

14 Ogos, Tebrau : PAS Cawangan Kampung Kangkar Tebrau telah merasmikan penubuhan Kelab Memanah Abu Talhah Al Ansari dan menganjurkan Program Pengenalan Asas Memanah Tradisional, semalam di Padang Taman Bukit Mutiara dalam suasana yang meriah.

Inisiatif PAS Cawangan melalui Kelab Memanah Abu Talhah Al Ansari tersebut dalam usaha menyuburkan kembali sukan sunnah memanah dalam kalangan masyarakat.

Program dengan kerjasama DACS Kawasan Tebrau serta Kelab Memanah Lestari ini telah dirasmikan oleh Pengerusi Gabungan Kelab Memanah Tradisional Negeri Johor merangkap Ahli Majlis MBJB Zon Bandar Dato’ Onn, Nor Azhar Abdul Hamid.

Ketua Cawangan PAS Kampung Kangkar Tebrau, Ahmad Rifdi Safian yang menyampaikan ucapan aluan telah menekankan memanah sebagai sukan yang menjadi simbol kekuatan tentera Islam pada masa dahulu boleh dikaitkan secara langsung dengan kekuatan hati, akal dan jasad. 

“Seseorang yang memanah menggunakan mata hati menjadikan ia lebih yakin dan tenang manakala akal yang fokus pula akan melahirkan pemikiran yang tajam.” Ujar Ahmad Rifdi.

Majlis ditutup dengan slot penyampaian hadiah bagi tiga pemenang teratas kategori kanak-kanak, remaja dan dewasa serta saguhati untuk peserta seramai 100 orang.

Turut hadir Pengerusi Badan Kebajikan Taman Bukit Mutiara, Ahmad Ali, Timbalan Ketua Cawangan Umno Zam Azleen Musa serta Pengerusi KRT Hairuniezam Zainal Abidin.