Oleh: Najah Izzati
KANGAR : Sebagai salah satu usaha dalam memastikan kemenangan berpihak kepada PAS dalam pilihan raya nanti, Majlis Tindakan DUN (MTD) Bintong telah menganjurkan Program Munajat Pilihanraya, dengan kerjasama Dewan Ulamak PAS Negeri Perlis dan Urusan Ulamak PAS Kawasan Kangar.
Program yang berlangsung di Markaz Tarbiyah PAS Kangar pada 2 November lalu mencatatkan kehadiran hampir 70 orang peserta.
Antara pimpinan yang hadir dalam program ini ialah Ketua Dewan Ulamak PAS Perlis, Ustaz Idris Yaacob, TYDP PAS Kawasan Kangar, Encik Wan Hassan Ismail, Pengarah JPRPk Kangar, Tuan Hj Baharuddin Ahmad, dan Pengarah MTD Bintong, Encik Abd Jamil Kamis,.
Program dimulakan dengan Solat Maghrib secara berjemaah, disusuli bacaan Yassin beserta tahlil dan doa, serta slot kuliah haraki yang disampaikan oleh Ustaz Abu Munqiz.
Usai kuliah, para peserta kemudiannya menunaikan solat Isyak dan solat sunat hajat secara berjemaah.
Antara pengisian yang ditekankan semasa kuliah haraki adalah tiga ciri penting yang perlu ada dalam diri para petugas PAS menjelangnya PRU.
Ciri yang pertama adalah kepentingan kefahaman kepada para petugas serta kewajipan menimba ilmu sepanjang hayat demi memastikan mereka berjuang dengan kefahaman yang betul.
Selain itu, faktor ketaqwaan iaitu pergantungan kepada Allah juga turut disentuh demi memastikan segala gerak kerja pilihan raya yang dilakukan adalah selari dengan tuntutan kerana Allah S.W.T. serta demi mencapai keredhaan-Nya selain menjadikan Allah sebagai tempat bergantung.
Para hadirin turut diingatkan akan kepentingan wala’ (kepatuhan) kepada pimpinan dalam menerima serta melaksanakan arahan-arahan jemaah serta kesan yang bakal ditanggung sekiranya aspek wala’ ini diabaikan.
Dalam program tersebut juga telah diadakan kutipan derma khas untuk keluarga Almarhum Ustaz Saleh Adam yang telah kembali ke rahmatullah baru-baru ini.