Home Ketua Penerangan PAS Pusat

Merdeka ke-64 : Memaknai semangat Malaysia Prihatin

193
SHARE

Perutusan Hari Kemerdekaan
Parti Islam Se-Malaysia (PAS)

MERDEKA KE-64: MEMAKNAI SEMANGAT MALAYSIA PRIHATIN

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) mengucapkan selamat menyambut hari kemerdekaan ke-64 buat seluruh rakyat Malaysia yang diraikan.

Tema ‘Malaysia Prihatin’ diteruskan bagi sambutan hari kemerdekaan kali ini yang menyeru kepada kesepaduan seluruh lapisan masyarakat dalam memerangi COVID-19 termasuk keprihatinan kerajaan memelihara kesihatan dan kesejahteraan rakyat melalui pelbagai insentif yang diberikan.

Pentadbiran Kerajaan Malaysia diyakini dapat meneruskan segala insentif kerajaan sebelum ini dengan lebih lancar sekali gus memberi banyak manfaat kepada seluruh Keluarga Malaysia tanpa mengira latar belakang.

Justeru, PAS menyeru kepada semua rakyat Malaysia untuk sama-sama memaknai semangat Malaysia Prihatin ini dengan mengukuhkan asas perpaduan, keharmoniaan serta kesejahteraan negara dalam mencapai nilai kemerdekaan yang hakiki.

PAS meyakini bahawa Islam sahajalah yang dapat menyatukan dan memerdekakan seluruh umat manusia sebagaimana pembentukan kerajaan Islam Madinah yang telah dibuktikan oleh Rasulullah SAW.

Firman Allah SWT,
“Allah SWT menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari kalangan kamu (wahai umat Muhammad) bahawa Ia akan menjadikan mereka khalifah-khalifah yang memegang kuasa pemerintahan di bumi, sebagaimana Ia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka: khalifah-khalifah yang berkuasa; dan Ia akan menguatkan dan mengembangkan agama mereka (agama Islam) yang telah diredhai-Nya untuk mereka; dan Ia juga akan menggantikan bagi mereka keamanan setelah mereka mengalami ketakutan (dari ancaman musuh)…” [An-nur : 55]

‘Islam Memperkukuh Perpaduan’

KAMARUZAMAN MOHAMAD
Ketua Penerangan
Parti Islam Se-Malaysia (PAS)
30 Ogos 2021 | 22 Muharram 1443