Home Berita PAS Kedah

Menjana kemenangan – Ustaz Fadzil Noor dan PAS Kedah

190
SHARE


Oleh AHMAD YAHAYA

Menolak cadangan untuk bertanding di Kelantan sebaliknya kekal di Kedah, bukanlah bermaksud tidak menghargai cadangan serta tawaran yang diberi. Bahkan cadangan yang dikemukakan itu sesuai dan tidak ganjil memandangkan Almarhum adalah presiden PAS. Di mana sahaja kerusi yang berpotensi menang boleh ditandinginya. Suara Presiden parti perlu bergema di dalam parlimen.

Namun, Almarhum mempunyai pertimbangan yang lain. Di samping presiden parti di peringkat nasional, dia juga adalah ketua PAS di Kedah. Almarhum amat sedar, orang PAS di Kedah berazam untuk melihat kerajaan PAS Kedah selepas PRU 1995 itu dipimpin oleh Ustaz Fadzil. Walaupun harapan itu belum tentu tercapai seperti tahun-tahun sebelumnya, tetapi azam, semangat dan harapan penyokong parti begitu tinggi untuk menang dan mengharapkan Almarhum akan memimpin mereka bagi mencapai kemenangan itu.

Almarhum juga tahu, semangat orang PAS di Kedah bersama dengannya, andai berpindah ke Kelantan, samalah seperti membawa semangat itu pergi bersama. Boleh sahaja jika parlimen bertanding di Kelantan, Dun kekal di Kedah. Tetapi Almarhum bimbang moral orang PAS Kedah menurun, lebih parah PAS sudah dikira kalah di Kedah sejak hari penamaan calon lagi. Sudah barang pasti, lawan politik akan mainkan isu Ustaz Fadzil sudah tinggalkan negeri kerana tiada harapan menang di Kedah. Kata Almarhum “PAS Kedah tak terjawab tuduhan UMNO nanti”.

Keputusan PRU 1995 masih tidak memihak kepada PAS. Walaupun Almarhum berjaya mempertahankan kerusi DUN Bukit Raya, namun usaha untuk menawan kerusi Pendang bagi membolehkan Ustaz Fadhil ke parlimen masih gagal. Apatah lagi untuk menguasai negeri serta menjadi pentadbirnya. Tetapi beliau tidak pernah patah semangat dan tidak mengenal erti kecewa. Almarhum terus membina kawasan Pendang dari masa ke semasa. Banyak cawangan baru ditubuhkan terutama di Dun Bukit Raya. Bilangan cawangan PAS lebih banyak dari cawangan UMNO, cuma satu Dun lagi dalam parlimen Pendang cawangan UMNO mengatasi cawangan PAS. Kerja keras mesti terus dilipatgandakan.

Demikian juga di peringkat negeri. Almarhum telah membuat kerja dan persiapan untuk mencapai kemenangan. Tahun 1995 juga, Ustaz Azizan dipanggil balik ke Kedah dan bertanding di Dun Sungai Limau. Hasilnya, PAS menang di kerusi tersebut. Selepas PRU 1995, Sungai Limau menjadi satu lagi Dun teras dan tumang kepada kekuatan PAS Kedah. Lima penggal berturut-turut Ustaz Azizan mempertahankan Sungai Limau. Tahun yang sama, Ustaz Azizan diberi peranan sebagai Setiausaha Badan Perhubungan oleh Ustaz Fadzil.

Hasil kesungguhan ke dua-dua tokoh tersebut membina PAS Kedah, dokongan ahli serta disokong pula oleh keadaan politik semasa, PAS Kedah menang besar pada PRU 1999 iaitu dengan menguasai 12 Dun dan 8 parlimen termasuk Pendang. Dalam usia 62 tahun, Ustaz Fadzil dapat juga ke Parlimen dan terus menjadi ketua pembangkang di Parlimen. Kata Pak Subki “Dari Kedah beliau datang, dari Kedah juga beliau ke Parlimen”.

Keputusan PRU 1999 amat baik, PAS mempertahankan Kelantan serta kembali menguasai Terengganu. Maka, sudah sampai masa Ustaz Fadzil memberi perhatian yang lebih di peringkat pusat dan Parlimen. Justeru, pada tahun 2000 Almarhum menyerahkan tugas mengetuai PAS Kedah kepada Ustaz Azizan. Di peringkat pusat diberi perhatian, di peringkat negeri tidak diabaikan. Ustaz Azizan adalah galang ganti Ustaz Fadzil di Kedah.

Kemenangan besar PAS pada PRU 1999 menyebabkan tekad PAS Kedah untuk menang dan mentadbir kerajaan bertambah kuat. Di mana-mana bercakap tentang kemenangan. Namun Allah maha berkuasa, 23 Jun 2002 Almarhum Ustaz Fadzil dipanggil pulang ke sisiNya ketika semangat ahli berada di puncak. Allah maha mengetahui hikmah di sebalik setiap ketentuan.

Ketentuan Ilahi diterima dengan redho. Kematian Almarhum adalah kematian yang menghidupkan. Semangat perjuangan ahli tidak mati dengan kematian Almarhum, bahkan bertambah kukuh. Dengan tema ‘Tahun Tawan Kedah’ PAS Kedah melangkah masuk ke PRU 2004.

Khairun Nizar Ismail, [26.06.21 19:55]
Semangat untuk menang berkobar-kobar sehingga hal tersebut membimbangkan Ustaz Azizan. Kebimbangan itu dinyatakan oleh Ustaz Azizan di beberapa pertemuan. Antaranya disebut “Hempa dok kira menang, nak memerintah, yang saya dok bimbang kot apa yang kita ada ni hilang”.

Kebimbangan Ustaz Azizan berasas. Persempadanan kawasan pilihanraya yang baru dan pendekatan politik Pak Lah memberi impak besar kepada keputusan PRU 2004. Dari 12 kerusi Dun yang dimenangi PAS Kedah pada PRU 1999 hanya tinggal 5 kerusi selepas PRU 2004. Semangat ahli yang memuncak patah di tengah jalan. Ahli PAS Kedah di semua peringkat terkejut dan trauma. Selepas itu, kehadiran ahli dalam program parti menjadi hambar. Keputusan PRU 2004 benar-benar membawa pergi semangat ahli.

Kebimbangan mula timbul, apakah penyakit trauma ini akan berterusan. Saya masih ingat, Dr Hamdan Mohd Khalib memberi amaran, jika trauma dilayan dan berterusan lebih dari 4 bulan, ia boleh membawa kepada penyakit gila.

PAS Kedah mesti bangkit. Ustaz Azizan menggerakkan kembali semangat ahli di semua peringkat. Dewan-dewan negeri serta pimpinan kawasan mendokong pelan yang diatur. Program tarbiyah disemarak. Pengerusi lajnah tarbiyah di setiap peringkat mesti dari jawatankuasa harian. Setiap program bercakap tentang tarbiyah, jihad serta pengorbanan. Dewan Pemuda negeri menganjurkan seminar jihad di SRIDU Telok Bagan. Kemuncak seminar, setiap peserta menulis nama di kertas dan memasukkannya ke dalam kotak sebagai gimik pendaftaran mujahid yang akan berjuang hingga bertemu syahid.

Usaha mengukuh organisasi dan jentera juga dilakukan. Penambahan ahli, mengaktifkan cawangan serta menggerakkan daftar pemilih dilipatganda. Setiap kali mesyuarat Badan Perhubungan, pemantauan kepad penambahan daftar pemilih baru menjadi agenda penting dan utama. Kemuncak usaha, Allah takdirkan PRU 2008 PAS Kedah bersama rakan tahaluf menang dan PAS mengetuai pentadbiran kerajaan. Sejarah dilakar, Ustaz Azizan dipilih sebagai Menteri Besar pertama PAS Kedah. Benar-benar galang ganti Ustaz Fadzil.

PAS Kedah mengambil masa 57 tahun untuk menjadi kerajaan.
Ustaz Fadzil tidak sempat menyaksikan detik PAS menang sebagai pentadbir kerajaan negeri Kedah. Akan tetapi, semua sedar kemenangan tersebut adalah hasil janaan dan buah tangan Almarhum Ustaz Fadzil.

Alfatihah khusus kepada Almarhum.