Home Berita PAS Melaka

Mengurus tantrum anak : Pastikan kita kuasai emosi mereka – Aziah Saad

376
SHARE

Oleh : Ibnatdeen

TANGGA BATU, 17 Jan : Menjadi cabaran terhadap ibu bapa terutamanya golongan muda bagi menghadapi kerenah dan ragam anak, ditambah pula dengan kesibukan bekerja dan tanggungjawab menguruskan rumah.

Ketika diminta menghuraikan persoalan daripada moderator mengenai solusi menghadapi tantrum anak, panel Talk With Ameerah Melaka, Aziah Mohd Saad menegaskan, komunikasi dengan anak itu penting untuk mewujudkan kefahaman dalam diri mereka.

“Pastikan kita menguasai emosi mereka, bukan emosi mereka mengganggu kita. Kawal diri untuk bersikap tenang ketika berhadapan dengan mereka,” kata beliau.

Aziah menjelaskan bahawa ibu bapa perlu memandang ke arah anak, supaya mereka dapat fokus dengan setiap perkataan dan ucapan yang akan dikatakan kepada mereka.

“Pandang ke arah mereka dan pastikan mereka fokus memandang kita. Beri pelukan dan bawa mereka ke tempat yang tenang. Mulakan pertanyaan dan percakapan apabila emosi mereka telah reda,” ujar Aziah.

Beliau juga menyifatkan tindakan ibu bapa yang menurut segala permintaan dan kehendak anak-anak sebagai tindakan yang tidak wajar dipraktikkan selalu ketika mengurus tantrum anak.

“Bila kita selalu menurut setiap kehendak dan permintaan mereka ketika tantrum, lama-kelamaan sikap tersebut akan menganggu emosi kita dan menyebabkan mereka terbiasa dengan cara tersebut dalam kehidupan seharian,” ujar beliau lagi.

Tambah beliau, komunikasi yang baik mampu mewujudkan perasaan kasih sayang dan persefahaman dengan anak-anak, sekaligus dapat mendidik sikap dan perilaku mereka.
Aziah juga adalah merupakan seorang pesara guru setelah berkhidmat lebih 35 tahun di sekolah-sekolah kerajaan termasuk 20 tahun pengalaman dalam bidang Pendidikan Khas.

Selain itu beliau juga kini aktif menulis e-buku yang kebanyakannya berkisar tentang ilmu mendidik anak-anak istimewa.

Program Talk with Ameerah Melaka yang berlangsung pagi tadi ini telah dikendalikan oleh Ahli Jawatankuasa Ameerah Melaka, Afizah Rincing sebagai moderator dan disiarkan secara langsung melalui laman rasmi ‘Facebook Ameerah Melaka’.