Home Artikel PAS Melaka

Kurang pengalaman dan kesabaran faktor tantrum anak tidak terkawal- Aziah Saad

257
SHARE

Oleh : Ibnatdeen

TANGGA BATU, 17 Jan : Tantrum merupakan proses alami yang dihadapi ibu bapa yang mempunyai anak kecil di mana ia adalah cara kanak-kanak mengeskpresikan gangguan emosi dan jiwa yang dihadapi pada sesuatu masa dan ketika.

Ketua Dewan Muslimat PAS Negeri Melaka, Aziah Mohd Saad berkata antara punca tantrum anak tidak terkawal adalah kerana kurang pengalaman dan kesabaran dalam diri ibu bapa.

Beliau berkata demikian di dalam perkongsiannya mengenai peranan ibu bapa bagi menangani tantrum anak di rumah menerusi sebuah program Talk with Ameerah Melaka.

Tambah beliau, tantrum anak-anak terjadi apabila mereka tidak mampu meluahkan perasaan ataupun kehendak mereka tidak difahami ibu bapa.

“Bila mereka tidak difahami, mereka akan melakukan sesuatu perkara seperti menghentak kepala di dinding, berguling-guling dan menghempas barang di tangan untuk mendapatkan perhatian,” ujar beliau.

Bagi menangani tantrum anak-anak, menurut Aziah, ibu bapa perlu bersikap prihatin dan peka dengan keperluan mereka terutamanya supaya mereka tidak terabai.

Tambah beliau lagi, kesibukan bekerja seharusnya tidak menjadi alasan yang menganggu fokus ibu bapa terhadap anak-anak.

“Ibu bapa perlu memerhatikan dan memahami keperluan anak–anak secara asasnya seperti keadaan mereka ketika lapar, badan letih dan tidak cukup rehat ataupun ketidaakselesaan akibat lampin penuh,” ujarnya lagi.

Tambah Aziah lagi, kefahaman asas ini akan membantu ibu bapa bersikap sabar ketika menguruskan anak-anak mereka ketika tantrum.

Aziah juga adalah merupakan seorang pesara guru setelah berkhidmat lebih 35 tahun di sekolah-sekolah kerajaan termasuk 20 tahun pengalaman dalam bidang Pendidikan Khas.

Selain itu beliau juga kini aktif menulis e-buku yang kebanyakannya berkisar tentang ilmu mendidik anak-anak istimewa.

Program Talk with Ameerah Melaka yang berlangsung pagi tadi ini telah dikendalikan oleh Ahli Jawatankuasa Ameerah Melaka, Afizah Rincing sebagai moderator dan disiarkan secara langsung melalui laman rasmi ‘Facebook Ameerah Melaka’.