Home Berita PAS Johor

“Memanah itu sunnah” tarik minat kanak-kanak

96
SHARE

Oleh NAZIRUL MUNIR

SIMPANG RENGGAM, 29 Jul : Program Memanah Itu Sunnah anjuran Lajnah Pembangunan Wanita dan Keluarga PAS Kawasan Tanjung Piai dapat menarik lebih 27 orang peserta daripada kalangan kanak-kanak termasuk anak yatim.

Program yang berlangsung sehari di Kampung Sri Pulai, Pekan Nenas, 23 Julai yang lalu itu bertujuan untuk memperkenalkan kembali sunnah memanah kepada generasi muda, serta dapat mempraktikkan ilmu mempertahankan diri.

Menurut Ketua Lajnah Dakwah PAS Kawasan Tanjung Piai, Abdul Muhaimin Karim, bersukan amat penting di dalam kehidupan agar menjadi mukmin yang sihat dan kuat.

“Menembak dan seumpama dengannya boleh dimasukkan ke dalam maksud memanah kerana sifatnya yang hampir sama”, ujarnya.

Tambah Muhaimin, yuran diberikan secara percuma buat anak-anak yatim sebagai bantuan pendidikan yang ingin belajar memanah.

“Penyertaan sangat menggalakkan dan terdapat juga anak-anak yatim yang ingin turut serta. Jadi, atas inisiatif ini, kami memberikan yuran percuma seterusnya membantu golongan anak yatim di Daerah Pontian ini”, katanya.

3 orang tenaga pengajar yang berpengalaman dijemput untuk mengajarkan teknik dan kaedah memanah yang betul kepada para peserta.

Turut hadir Yang DiPertua PAS Kawasan Tanjung Piai, Aminuddin Abdullah, Ketua Dewan Muslimat PAS Kawasan Tanjung Piai, Selemah Mintol serta Ahli Jawatankuasa Dewan Muslimat PAS Kawasan Tanjung Piai.