Home Berita PAS Melaka

Melaka kerajaan negeri pertama miliki makmal saringan Covid-19 sendiri

148
SHARE

Oleh IBNU JANIE

AYER KEROH, 3 Jun : Kerajaan Negeri Melaka mencatat sejarah apabila makmal diagnostik Covid-19 miliknya telah diberikan kelulusan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi menjalankan ujian makmal RT-PCR dan RTK-Ag untuk mengesan individu yang dijangkiti Covid-19.

Menurut Ketua Menteri Melaka, YAB Datuk Seri Utama (Dr) Sulaiman Md Ali, makmal yang dikendalikan oleh Perbadanan Bioteknologi Melaka (PBM) ini juga turut disokong oleh sistem Tracvirus.

“Dengan kelulusan yang diberikan berkuat kuasa mulai 1 Jun 2021, PBM kini dibenarkan untuk menjalankan kedua-dua ujian berkenaan.

“Sekali gus berupaya menyokong aktiviti saringan yang dijalankan oleh fasiliti kesihatan KKM, seterusnya membantu mempercepatkan usaha mengawal jangkitan wabak tersebut dalam komuniti,” ujar beliau.

Tambah beliau lagi, makmal ini mampu menerima sebanyak 250 sampel RT-PCR dan ujian RTK-antigen setiap hari di mana keputusan ujian RT-PCR boleh diperolehi dalam tempoh 24 jam, manakala bagi ujian RTK-antigen keputusan ujian boleh diperoleh dalam tempoh kurang satu jam.

“Dengan itu, ia memberikan pilihan tambahan kepada hospital swasta dan klinik-klinik di Melaka yang menawarkan ujian calitan (swab test) Covid-19 untuk mendapatkan ujian RT PCR dengan makmal ini.

“Selain daripada ujian makmal, PBM juga boleh menawarkan perkhidmatan kaunter ujian saringan bergerak (drive thru) atau ‘on-site’ untuk Covid-19 dengan kerjasama klinik dan hospital panel.

“Individu atau syarikat yang ingin membuat ujian saringan Covid-19 juga boleh berurusan dengan makmal ini melalui tempahan awal di talian 010-530 2600,” ujar beliau lagi.

Menurut Ketua Menteri Melaka itu, dengan kemudahan fasiliti makmal terbaru PBM ini, Kerajaan Negeri Melaka berharap ia bukan sahaja dapat membantu mengurangkan beban sampel di Hospital Melaka, malah boleh membantu mengurangkan beban sampel di fasiliti kesihatan KKM khususnya di zon selatan melibatkan Negeri Johor dan Negeri Sembilan.

“Sehingga kini, terdapat 35 fasiliti swasta yang telah diiktiraf untuk menjalankan ujian tersebut di seluruh negara termasuk sebuah makmal swasta yang diiktiraf di Melaka.

“Melalui kejayaan ini, Kerajaan Negeri Melaka berharap kapasiti ujian saringan Covid-19 dapat ditingkatkan di Melaka,” ujar beliau.

Tambah beliau lagi, ini sekali gus menyokong inisiatif yang dicadangkan oleh Kerajaan Negeri Melaka semasa sesi mesyuarat Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara Pengurusan Covid-19.

Menurut beliau, Kerajaan Negeri Melaka dalam sidang tersebut mencadangkan untuk individu yang ingin mendapat kebenaran rentas negeri wajib menjalani ujian calitan Covid-19 RT-PCR, dan makmal PBM dapat menyokong inisiatif tersebut sekiranya cadangan itu diterima oleh Majlis Keselamatan Negara.

Beliau berkata demikian di dalam satu kenyataan media beliau yang dikeluarkan oleh Jabatan Ketua Menteri Melaka semalam.