Home Berita PAS Kelantan

MB rasmi Wisma Dato’ Bentara Setia, Syubra

122
SHARE

KAHERAH, 15 Ogos: Menteri Besar Kelantan YAB Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob merasmikan pembukaan wisma baharu milik Kerajaan Kelantan di Syubra Kaherah, hari ini.
Wisma tersebut disediakan bagi mempermudahkan segala urusan penginapan, pembelajaran Al-Quran khasnya berkait dengan hafazan dan qira’at bagi pelajar Kelantan di sana.

Kerajaan Negeri telah memasyhurkan wisma itu dengan nama Wisma Dato’ Bentara Setia mengambil sempena nama Almarhum Tuan Guru Dato’ Bentara Setia Nik Abdul Aziz Nik Mat, mantan Menteri Besar Kelantan.

Delegasi Dato’ Ahmad diiringi Exco Hubungan Seranta, YB Dato’ Panglima Perang Dato’Mohd Nassuruddin Daud bagi merasmikan Seminar Peradaban Kerajaan Negeri Kelantan di Timur Tengah 2022 (SPEKTRUM 2022) anjuran Keluarga Pelajar-Pelajar Kelantan Mesir (KPPKM) dengan kerjasama Pejabat Pegawai Kebajikan Pelajar Kelantan Timur Tengah yang bermula 14 hingga 16 Ogos.

Dato’ Ahmad turut meluangkan masa menziarahi dan mengimamkan solat jenazah ke atas ruh Allahyarham Muhammad Firdaus Ab Rais, pelajar Kelantan yang mengikuti pengajian Sarjana Muda Syariah di Universiti Al-Azhar Mesir yang disahkan meninggal dunia minggu lalu akibat lemas di sungai, daerah Al-Qanathir Al-Khairiyah, Mesir.

Turut hadir, Ahli Parlimen Rantau Panjang, YB Dato’ Zailah Yusoff, Exco Pendidikan Negeri Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan.