Home Berita PAS Kelantan

MB puji komitmen ATM kekalkan keselamatan rakyat

57
SHARE

KOTA BHARU, 2 Oktober: Menteri Besar Kelantan YAB Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob memuji komitmen Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengekalkan keselamatan rakyat ketika berdepan musibah yang melanda negeri.

Ustaz Dato’ Ahmad berkata Kerajaan Negeri amat menghargai peranan ATM khususnya warga 8 Briged ketika mengharungi cabaran semasa penularan wabak COVID-19, operasi banjir dan program bersama rakyat.

“ATM dengan penuh komitmen telah berjaya memastikan keselamatan sempadan negara khususnya melibatkan negeri Kelantan menerusi pelaksanaan OPS Benteng. ATM turut memainkan peranan besar dalam misi banjir dengan kesiapsiagaan menerusi OPS Murni. Manakala, Projek Jiwa Murni telah membawa kesan besar dalam mengeratkan hubungan ATM dan rakyat. Pada April 2021, program tersebut berjaya membina dan membaiki rumah penduduk miskin di Kelantan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Penghargaan dan Ramah Mesra YAB Menteri Besar Kelantan dan Timbalan Menteri Pertahanan bersama Warga 8 Briged, di Kem Desa Pahlawan, Kok Lanas pada 28 September.

Sehubungan itu, beliau juga menzahirkan penghargaan atas momen yang diraikan bersama Timbalan Menteri Pertahanan Malaysia Dato’ Sri Ikmal Hisyam Abdul Aziz sempena lawatan kerja ke situ dan berterima kasih kepada Panglima 8 Briged Jeneral Abu Hassan Assha’ari Khamis @ Shaffiee atas usaha menjayakan program tersebut.

Dalam majlis yang sama, Ustaz Dato’ Ahmad turut menyampaikan sumbangan RM35 ribu untuk pembangunan spiritual kariah Masjid Jamek An-Nur, Kem Desa Pahlawan.