Home Berita PAS Johor

Mantapkan gerak kerja dan ukhuwah untuk capai kemenangan – YB Abdul Aziz

119
SHARE

oleh SHARIFAH AJIL

MUAR, 3 Julai : Setiap ahli PAS harus memantapkan gerak kerja di samping memperkukuh ukhuwah sebelum menuju ke jalan kemenangan.

Demikian dinyatakan oleh ADUN Maharani, Abd Aziz Talib semasa merasmikan Mesyuarat Agung Dewan Muslimat PAS Kawasan Muar kali ke-23, di Pusat Tarbiyah PAS Parit Pechah, di sini, semalam.

“Ahli dewan-dewan yang mewakili PAS kawasan sama ada dari Muslimat, Pemuda, Ulama dan entiti yang lain di bawah PAS perlu bergerak sederap bagi membantu perjalanan gerak kerja jemaah ke arah kemenangan khususnya untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 akan datang.

Tambah Abd Aziz lagi yang juga merupakan Yang Dipertua PAS Kawasan Muar, kehadiran ahli ke mesyuarat perlu dibetulkan niatnya, bukan kerana dipaksa. Tetapi harus ikhlaskan diri hadir agar mendapat keberkatan Allah swt.

“Perlu ada muhasabah gerak kerja yang dilakukan kerana gerak kerja kita ada dakwah dan siasah. Melalui konsep dakwah dapat melebarkan tarbiah melalui usrah kepada ahli dan juga masyarakat setempat.

“Muslimat sebagai sayap PAS kawasan perlu bertindak dengan satu fikrah eratkan ukhuwah sesama kita, jangan sampai ada persengketaan

“Tanpa perbalahan, sentiasa bersatu, keberkatan dan rahmat Allah akan turun. Kekuatan jemaah dalam gerak kerja akan lebih kuat dan kukuh apatah lagi setelah diberi kemenangan dalam PRN lalu memenangi Dun Maharani, ” jelas beliau lagi.

Tambah beliau, berharap ahli-ahli PAS teruskan gerak kerja dengan lebih mantap bagi mencapai kecemerlangan yang lebih baik lagi.

Mesyuarat agung ini diserikan lagi dengan persembahan nasyid oleh anak-anak ahli jawatankuasa DMPK Muar dan gimik pelancaran jentera pilihan raya.

Turut diadakan juga penyampaian anugerah Muslimat Aktif, seramai 3 orang telah dipilih untuk menerima cenderahati. Mewakili Dun Maharani ialah Roziana Abu Bakar, Norizan Lasailing mewakili Dun Sungai Balang dan Siti Zuraidah Jaafar dari Gen-3.

Turut hadir ialah Ketua Dewan Ulama, Ustaz Muhidir Tamjis serta pemantau Mesyuarat, Ustaz Khairul Ariffin Mohamed.